Rupanya selama 13 tahun meminjam suara bagi watak animasi Upin dan Ipin (UI), Asyiela Putri akur sekiranya suatu hati nanti dia terpaksa berundur daripada membawakan watak itu. Meskipun watak animasi kembar itu sudah sebati dalam dirinya, Asyiela, 22, percaya rezeki untuk menggalas tugasan itu harus diserahkan kepada orang lain yang lebih sesuai. “Walau sudah dewasa saya masih boleh buat suara watak Upin Ipin. Memang mencabar sebab saya perlu kecilkan suara dan ingat intonasi percakapan seperti kanak-kanak. “Bagaimanapun saya tahu tidak selamanya akan kekal diberikan bakat sebegini. Mungkin suatu hari nanti suara saya betul-betul berubah tidak boleh lagi bercakap seperti UI. “Jika ia berlaku saya terpaksa akur dan anggap ia bukan lagi rezeki saya. Biarlah orang lain yang teruskan,” katanya kepada mStar. Biarpun sekadar meminjamkan suara, Asyiela tidak sangka ramai yang mengenali dirinya yang sebenar dan menjadi pengikut di media sosial.
Ada ketika rasa penat juga kerana orang selalu request nak dengar suara UI apabila berjumpa
Justeru itu, bagi menjaga imej baik watak UI, Asyiela sentiasa berhati-hati dalam setiap perkongsian kerana ramai peminat merupakan dalam kalangan kanak-kanak. “Saya bukanlah seorang yang ada perangai pelik dan selalu akan menjadi diri sendiri sahaja apabila berada di mana-mana. “Namun saya harus sentiasa berhati-hati terutamanya di media sosial demi menjaga imej UI kerana ramai peminat adalah kanak-kanak,” jelasnya.
Asyiela sentiasa jaga suara untuk lakonkan watak Upin & Ipin.
Dalam masa sama, Asyiela akui terasa sukar apabila semakin dikenali kerana peminat sering meminta dia bercakap seperti suara UI. “Ada ketika rasa penat juga kerana orang selalu request nak dengar suara UI apabila berjumpa. “Sekarang ini nak jadi UI perlukan tenaga untuk kecilkan suara, bukan seperti ketika saya kanak-kanak dahulu,” ujarnya. Sumber, mstar