Sering sukar untuk tetapkan hati, Ini cara untuk tetapkan hati supaya istiqamah untuk berhijab

Tahukah anda perkataan hijab berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud penghalang. Jadi, hijab merupakan pakaian yang melindungi wanita muslim dari aurat mereka. Aurat adalah bahagian tubuh yang wajib ditutupi dari pandangan orang lain selain mahramnya. Hijab merupakan kewajipan bagi setiap wanita muslim yang sudah akil baligh. Hijab ini diperintahkan Allah supaya kita semua terlindung daripada bahaya dan perkara yang tidak diingini. Bagi anda yang baru mula dan berjinak dalam berhijab, ini dia 15 cara untuk anda tetapkan hati anda supaya terus istiqamah dalam mengenakan hijab.

Kenali Hijab Dengan Lebih Dekat

Bagi sesiapa yang sudah lama memakai hijab pasti pernah melalui saat ditanya oleh orang bukan muslim tentang kenapa wanita Islam berhijab dan bahagiakah kita disuruh berhijab. Bukan orang bukan muslim sahaja yang bertanya, malah, pasti ada wanita muslim sendiri yang bertanya. Sekiranya anda tertanya-tanya kenapa anda memakai hijab, jawapannya hanya ada satu sahaja iaitu kerana menutup aurat dan berhijab ini merupakan perintah Allah SWT bagi setiap wanita muslim dan perintah Allah itu wajib untuk dituruti. Firman Allah SWT, “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar)” (Al-Ahzaab : 59)

Langkah Awal Berhijab

Sekiranya anda ingin mula berhijrah, langkah awal untuk anda mulakan adalah dengan niat iaitu keinginan dalam hati untuk melakukan sesuatu tindakan yang ditujukan hanya kepada Allah SWT. Niat yang sepenuh hati, dengan izin Allah akan dipermudahkan perjalanan anda nanti. Langkah seterusnya adalah memastikan supaya anda tidak meninggalkan hijab atau tudung anda saat anda keluar dari rumah. Sekiranya hati anda belum bersedia untuk menggunakan hijab secara kekal, anda pasti akan berasa tidak selesa dan sebagainya. Tetapi, setelah anda mengerti tujuan berhijab itu, pasti anda akan berasa senang hati ketika memakainya.

Niat Yang Kuat Untuk Menjadi Wanita Beriman

Untuk terus kekal berhijab, niat perlulah sentiasa betul. Tanya diri kenapa anda berhijab. Adakah kerana ingin mengikut perintah Allah atau kerana trend semata? Sekiranya anda mengikut trend, betulkan niat anda untuk kekal berhijab dan supaya istiqamah dalam memakainya. Niat untuk menjadi seorang muslim dan wanita yang beriman hanya kerana Allah adalah niat yang sepatutnya.

Fahami Hukum Memakai Hijab

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (An-Nur : 31) Petikan di atas merupakan firman Allah SWT yang menyatakan tentang perintah Allah kepada kaum wanita untuk menutup aurat mereka. Hijab ini bukanlah trend yang akan silih berganti dan dapat ditinggalkan. Tetapi, memakai hijab hukumnya adalah wahib bagi semua wanita muslim yang sudah akil baligh.

Hijab Bukan Pengongkong

Ramai yang merasakan seperti dikongkong atau dipaksa untuk mengenakan hijab dengan alasan mereka terbatas dalam mengekspresikan diri atau tidak dapat menjadi diri yang sebenar. Tetapi, tahukah anda, hijab merupakan bentuk kasih sayang Allah SWT kepada umatnya. Pada zaman jahiliah dahulu, darjat wanita itu berada di titik paling rendah dan posisi lelaki itu lebih tinggi. Akan tetapi, setelah Islam datang, martabat wanita diangkat menjadi lebih mulia. Semua manusia adalah sama di mata Allah. Yang membezakan setiap individu adalah amal perbuatannya. Hijab ini hadir untuk melindungi wanita daripada godaan syaitan dan orang jahat. Ianya juga dapat membantu melindungi tubuh wanita dari sinar matahari dan debu. Dengan memakai hijab, anda akan mendapat perlindungan daripada Allah SWT kerana Allah memuliakan semua wanita yang menutup aurat.

Berterima Kasih Kepada Allah

Dengan mengenakan hijab adalah salah satu cara untuk kita berterima kasih kepada Allah SWT kerana Allah telah memelihara, memberi perlindungan dan nikmat kepada kita. Nikmat seperti kesihatan tubuh badan, mendapat anugerah dan kasih sayang daripada orang sekeliling perlulah kita balas balik dengan hanya mengikut perintah-Nya. Ingin dilimpahkah pelbagai lagi nikmat daripada Allah? Mudah sahaja, ikut perintahNya dengan menutup aurat anda.

Ingat Keutamaan Hijab

Tips untuk istiqamah dalam berhijab adalah dengan memahami dan mengingati keutamaan hijab itu sendiri. Hijab merupakan identiti seorang wanita muslim. Hijab bukan sahaja mampu melindungi anda daripada godaan syaitan dan orang-orang jahat malah melindungi anda daripada pencemaran serta sinaran ultra-violet. Membuang Pakaian Yang Tidak Layak, anda sudah boleh membuang pakaian-pakaian lama yang tidak menepati syariah Islam dan gantikannya dengan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna. Jangan sumbangkan pakaian yang tidak menutup aurat itu kepada orang lain kerana ianya akan menjadi dosa yang akan terus mengalir dalam diri anda.

Sentiasa Ingat Mati

Seterusnya, untuk memantapkan hati supaya kekal berhijab adalah dengan sentiasa mengingati akan kematian. Mengingati kematian juga merupakan salah satu pahala kerana secara tidak langsung anda akan berasa takut berbuat dosa dan menjadi lebih dekat dengan Allah. Hijab adalah kewajipan setiap muslimah. Bayangkan anda mati dalam keadaan tidak menutup aurat, berapa banyak dosa yang telah anda kumpul? Jangan sampai kain kafan menjadi hijab anda yang pertama dan terakhir. “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (Al-A’raaf : 26)

Mengingati Janji Allah Pada Orang Yang Istiqamah

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Fussilat : 30). Daripada firman Allah SWT di atas, Allah telah menjanjikan syurga kepada orang yang teguh dan tetap imannya kepada Allah SWT.

Mengingati Pahala Orang Yang Sabar

“Dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya, mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah : 177). “(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” (An-Nahl :96). Melalui kedua-dua firman Allah SWT di atas, telah dijelaskan bahawa orang yang bersabar dalam melaksanakan perintah Allah pasti akan dibalas dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah kerjakan. Sumber, seri wanita