Hampir 7 tahun kahwin tapi belum ada rezeki zuriat, Izzue dan isteri dedah beli rumah idaman buat ramai yang terpegun

Hampir tujuh tahun mendirikan rumah tangga, pasti pelakon dan penyanyi Izzue Islam tidak terlepas berkenaan soalan mengenai cahaya mata. Berkongsikan mengenai perkara itu dalam program temu bual Wanita Hari Ini, Izzue mengakui pernah berasa tertekan sering ditanyakan mengenai soal anak. Izzue berkata anak memberikan kebahagiaan dalam kehidupan berumah tangga namun belum rezeki untuk mereka menimang cahaya mata. “Pada awalnya, memang ada rasa stres bila balik kampung jumpa kawan-kawan, kita dah 3-4 tahun kahwin, kawan baru sahaja dah dapat anak. Bila ada yang bertanya tu memang tak nafikan ada rasa stres, kecil hati juga kadang-kadang tu.

“Ada yang tanya serius memang nak tahu kita bila nak dapat, tapi ada juga yang kadang-kadang bertanya tu boleh menyakitkan dan mengguris hati kita,” katanya. Dalam pada itu, Izzue berkata meskipun belum dikurniakan cahaya mata, dia dan isteri Awin Nurin tetap bahagia serta sentiasa bersikap positif jika berdepan soalan tersebut. “Jadi kami memang kena positif, macam mana cara kita jawab pertanyaan tu pun kena positif supaya orang tu tak rasa yang kita stress. Jangan tunjuk kat orang yang kita stres dan walaupun kami berdua belum dikurniakan cahaya mata, kami bahagia Alhamdullilah,” katanya.

Baru-baru ini, perkongsian pelakon dan penyanyi Izzue Islam menjadi perhatian meluahkan rasa syukur apabila diberikan rezeki untuk memiliki rumah sendiri bersama isterinya, Awin Nurin. Meskipun belum dikurniakan rezeki cahaya mata, namun pasangan itu teruja berkongsikan momen menjejakkan kaki di rumah pertama mereka. Berkongsikan video di aplikasi TikTok, Izzue turut merakamkan momen ketika mendapat kunci rumah idamannya itu di sekitar Eco Grandeur di Puncak Alam, Selangor. Diruangan komen, rata-rata warganet mengucapkan tahniah buat pasangan itu. Malah, ramai yang memuji Izzue dan isteri setia bersama biarpun belum diberikan rezeki zuriat lagi. Malah, warganet turut memuji Izzue adalah suami contoh kerana sentiasa menggembirakan hati isterinya.

“Tahniah boh..u both deserve for it” komen Fizo Omar. “Alhamdulillah .. tahniah bohh .. unit norton tu .. bukan kaleng kaleng” Untuk rekod, Izzue dan Awin Nurin mendirikan rumah tangga pada 2 Jun 2013. Biodata Izzue Islam. Pemilik nama penuh, Muhammad Izzul Islam bin Mazlan. Lahir pada 2 Jun 1990 di Kota Bharu, Kelantan. Kini berusia 29 tahun. Berketinggian 1.75 meter. Kediamannya terletak di Kuala Lumpur. Berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Aktif dalam dunia hiburan sejak tahun 2009. Memperjuangkan muzik pop. Single yang pernah dirakamkannya ialah Bimbang, Sahabat, Muzik Tiduranku, Salamun Alaika (duet bersama Saujana dan NowSeeHeart) dan Kau. Menganggotai kumpulan Forteen dari tahun 2011 hingga 2018.

Juga bergiat dalam lakonan dan modeling. Antara filem dibintanginya seperti Khurafat: Perjanjian Syaitan, Snglap, 29 Februari, Ular, Aliff Dalam 7 Dimensi, XX Ray 3 dan Bella & Jamie. Pembabitan dalam drama, antaranya menerusi Pintu Taubat, Gemilang, Mimpi Cinderella, Jangan Ambil Padang Kami, Sebenarnya, Saya Isteri Dia, Suami Sebelah Rumah, Dia Semanis Honey, Patahnya Sebelah Sayap, Kisah Yang Hilang, Tok Adi, Jangan Benci Cintaku dan Curi-Curi Cinta. Juga telefilem Si Tudung Tweet, Azam Ala Kazam, Cik Paris Diva Kampung, Oh My Ganu, Kerana Seorang Ammar, Tingkat Atas Tingkat Bawah, Hantu Langsir, Imam Kacak Pakwe Kami, Hujan Panas Di Inderasabah, Jongkong, Pengemis Itu Saudaraku, Selirat, Matilahnak, Kampung Batu 120 dan banyak lagi.

Pemegang trofi Pelakon Harapan Lelaki menerusi filem 29 Februari di Festival Filem Malaysia ke-25, kategori Hero Baru Terhebat menerusi filem Hantu Kapcai di Anugerah Blokbuster ke-2, Barisan Pelakon Pilihan menerusi drama Sebenarnya, Saya Isteri Dia di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur Pertama dan Antagonis Pilihan menerusi drama Patahnya Sebelah Sayap di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur ke-4. Pada 2 Jun 2013, beliau bersama pengurusnya, Awin Nurin disatukan sebagai pasangan suami isteri. SUMBER HARIAN METRO