Umum lagi kita ketahui setiap orang mempunyai impian untuk memiliki rumah sendiri. Terdapat banyak jenis-jenis rumah yang terdapat di Malaysia ini sehingga membuatkan anda tidak tahu ingin memiliki rumah yang sebagaimana. Secara amnya, ianya bergantung kepada kemampuan kewangan, lokasi dan juga keperluan peribadi anda. Sebelum anda membuat keputusan, jom fahamkan istilah landed dan strata yang seringkali digunapakai. Rumah landed ini merupakan rumah yang dibina dengan satu tingkat, dua tingka, tiga tingkat atau selebihnya. Kebanyakan tanah rumah jenis landed ini dimiliki secara persendirian oleh pemilik rumah tersebut.
Strata atau level ini pula adalah rumah yang dibina bertingkat-tingkat di sebuah kawasan tanah. Setiap tingkat ini mempunyai beberapa unit rumah. Tanah bagi rumah jenis ini dimiliki secara perkongsian dengan semua pemilik unit rumah tersebut. Bagi anda yang berkeinginan untuk membeli rumah, anda perlu ketahui jenis-jenis rumah yang terdapat di Malaysia ini terlebih dahulu supaya anda tidak tersalah membuat pilihan.
Rumah Teres
Rumah teres atau juga dikenali sebagai link house merupakan rumah yang bersambung dengan rumah di kiri dan kanannya. Rumah-rumah ini memiliki keluasan kawasan yang sama luas kecuali rumah pada bahagian hujung (corner lot) yang kebiasaannya mempunyai kawasan yang lebih luas.
Selalunya rumah teres ini dibina dengan satu atau dua tingkat dan memiliki 10 ke 12 unit dalam setiap barisan rumah. Secara asasnya rumah teres satu tingkat ini mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik mandi, sementara unit dua tingkat memiliki empat bilik tidur dan tiga bilik mandi. Rumah teres merupakan pilihan hartanah nombor satu di Malaysia kerana nilainya yang berbaloi. Dengan ruang tempat letak kereta dan halaman rumah sendiri, ia memberikan sedikit privasi kepada sesiapa yang mendiaminya.
Rumah banglo
Rumah banglo ini selalunya dibina di atas sebidang tanah hak milik persendirian di mana saiz kaki persegi sangat berbeza bagi setiap rumah bergantung kepada keluasan tanah yang dimiliki. Ia juga dipanggil sebagai detached house. Jarak antara satu rumah ke rumah yang lain agak jauh. Rumah banglo ini kebiasaannya dimiliki oleh orang yang lebih berada dan inginkan privasi secukupnya. Harga jualan rumah banglo ini bergantung mengikut lokasi, kawasan tanah termasuklah usia sesebuah rumah tersebut.
Rumah Berkembar / Semi-D
Rumah berkembar ataupun lebih dikenali semi-D atau semi-detached ini adalah dua buah rumah yang sama dan berkongsi dinding untuk membentuk satu bangunan. Ia memiliki ciri-ciri yang sama seperti rumah banglo di mana ia mempunyai ruang di bahagian tepi, depan dan belakang yang kebiasaannya dijadikan tempat letak kereta, landskap dan sebagainya.
Flat
Rumah flat selalunya dibina dalam satu kawasan tertutup dan ianya mempunyai beberapa blok. Setiap blok mempunyai tiga ke empat belas tingkat ataupun lebih. Antara jenis rumah strata, flat merupakan antara rumah yang paling murah dan kebanyakannya adalah rumah kos rendah. Terdapat rumah flat yang disediakan dengan kemudahan seperti taman permainan, dewan komuniti, surau dan juga deretan kedai. Pemilik rumah flat hanya memiliki ruang koridor di luar rumah mereka dan ianya dikongsi dengan pemilik sebelah menyebelah. Parking kereta pula kebiasaannya adalah terhad.
Apartment
Rumah jenis apartment ini adalah lebih kurang sama dengan flat tetapi ianya mempunyai keluasan yang lebih luas dari rumah flat sama ada di dalam atau di luar rumah. Harganya pula boleh dikatakan dalam lingkungan kos sederhana dan lebih rumah berbanding kondominium. Keseluruhan dan kawasan di depan unitnya dimiliki oleh pemilik apartment. Antara kemudahan yang disediakan di apartment termasuklah pengawal keselamatan, tempat letak kereta berbumbung, gimnasium, kolam renang, kedai runcit dan lain-lain lagi.
Terdapat juga serviced apartment yang kebiasaannya dilengkapi denga perabot dan penuh dengan kemudahan kepada penduduk. Selalunya serviced apartment ini terletak di bandar-bandar besar. Ianya seperti menyewa di hotel tetapi mempunyai ruang yang lebih besar dan dapur untuk memasak.
Kondominium
Kondominium pula adalah rumah strata yang paling mewah antara yang lain. Ini kerana rekabentuknya yang lebih moden, keluasan dan kemudahan yang disediakan lebih mewah serta dilengkapi dengan sistem keselamatan yang lebih baik berbanding rumah flat dan apartment. Jarak antara satu unit rumah juga tidak serapat apartment. Setiap pemilik kebiasannya disediakan dengan kad akses untuk memasuki kawasan kondomininum tersebut. Setiap unit memiliki sekurang-kurangnya dua bilik tidur dan satu bilik mandi. Setiap unit juga diberikan ruang letak kereta berdaftar.
Terdapat beberapa jenis kondominium iaitu standard, penthouse dan juga duplex. Memiliki rumah kondominium ini juga bermakna anda perlu membayar caj perkhidmatan secara bulanan untuk menyelenggara kemudahan umum dan hartanah bersama tersbut.
Townhouse
Townhouse adalah satu jenis rumah yang menarik kerana ianya merupakan gabungan antara rumah strata dan juga landed. Townhouse biasanya memiliki dua tingkat atau lebih. Apa yang membuatkan townhouse ini menarik adalah kerana ianya seolah-olah rumah teres tetapi setiap tingkat mempunyai unit yang tidak bersambung antara satu sama lain. Pemilik rumah memiliki pintu rumah yang berbeza dan bahagian letak kereta sendiri.
SOHO / SOFO / SOVO
SOHO atau small office home office merupakan tempat tinggal dan tempat kerja yang digabungkan kedua-duanya. Ianya sangat sesuai untuk orang bujang yang bekerja dari rumah dan mempunyai waktu kerja yang fleksibel. Begitu juga dengan SOFO iaitu small office flexible office yang boleh bertukar daripada tempat tinggal kepada ruang pejabat dan sebaliknya. Kebiasaannya, SOFO ini tiada dinding atau partition yang memisahkannya. Jadi, ia boleh diubah dengan mudah.
SOVO (small office virtual office) pula lebih sesuai digunakan bagi syarikat yang baru nak bermula di mana ianya mempunyai kesemua kemudahan untuk tujuan komersil. Akan tetapi, semua bil adalah pada kadar komersil dan lebih mahal daripada kadar kediaman. Anda sudah tahu jenis-jenis rumah yang terdapat di Malaysia ini. Tidak kiralah rumah jenis apa yang sesuai dengan anda atau jenis apa yang anda inginkan. Yang pasti, belilah mengikut kemampuan anda. Ini kerana anda memerlukan downpayment yang tinggi dan installment bulanan selama berpuluh tahun lamanya. Jadi, jangan tersalah beli rumah. Sumber, seri wanita