Rupanya ada yang sampai fobia dengan peanut butter, Ini antara fobia yang paling pelik perlu anda tahu

Ketakutan terhadap sesuatu boleh disebabkan seseorang mengalami fobia. Ketakutan terhadap sesuatu perkara mungkin dianggap perkara biasa namun tanpa disedari ia mungkin disebabkan seseorang itu mengalami fobia. Fobia bukan perkara sengaja dibuat-buat sebaliknya boleh berlaku disebabkan pernah mengalami peristiwa atau pengalaman buruk yang sukar dilupakan. Ketakutan atau fobia terhadap ketinggian, bunyi kenderaan, haiwan berbulu atau kegelapan mungkin perkara biasa tetapi sebenarnya terdapat pelbagai fobia yang kedengaran aneh dan tidak masuk akal. Misalnya fobia terhadap nasi atau dikenali sebagai Ryziphobia akan membuatkan si penderitanya mengalami pening, mual dan sukar bernafas. Selain Ryziphobia, terdapat banyak fobia pelik yang tidak masuk akal tetapi berlaku.

Agoraphobia

Berada dalam kawasan sesak seperti menaiki LRT atau beratur membeli tiket perlawanan bola sepak mungkin perkara biasa tetapi ia boleh jadi satu perkara menakutkan bagi penderita Agoraphobia. Golongan ini akan berasa takut apabila ‘terperangkap’ dalam situasi yang penuh dengan orang ramai sehingga boleh menyebabkan mereka berasa cemas dan sesak nafas.

Chorophobia

Chorophobia adalah ketakutan terhadap gerakan tarian! Dalam sesetengah kes, penderita fobia ini akan mengalami serangan panik ketika melihat tarian selain degupan jantung meningkat, pernafasan menjadi laju, kekejangan otot dan berpeluh. Sayangnya, masih belum diketahui dengan jelas penyebab kepada masalah ini namun ada kajian mengatakan faktor genetik dan persekitaran menjadi puncanya.

Entamaphobia

Entamaphobia adalah keadaan di mana penderitanya sentiasa berasa takut tentang tanggapan orang di sekeliling terhadap dirinya. Fobia itu membuatkan penderitanya berasa takut menjadi bahan bualan orang lain, lebih-lebih lagi ketika berada di tempat ramai orang. Serangan terhadap fobia itu boleh berlaku ketika orang di sekeliling tiba-tiba berhenti bercakap dan memerhatikan gerak-geri penderitanya semasa masuk ke sesebuah tempat.

Allodoxaphobia

Bagi penderita Allodoxaphobia pula, golongan ini sentiasa hidup dalam ketakutan dan kegelisahan apabila mendengar kritikan atau pandangan orang lain terhadap diri mereka. Penderita fobia ini sebenarnya sedar bahawa ketakutan yang dialami tidak normal tetapi kebanyakan masanya gagal mengawal pemikiran mereka. Akibatnya, penderita masalah ini biasanya lebih gemar bersendiri kerana tidak mahu hidup dalam keadaan memikirkan apa dikatakan orang lain tentang dirinya.

Arachibutyrophobia

Selain Ryziphobia, Arachibutyrophobia merupakan ketakutan terhadap mentega kacang – kedengaran pelik namun ketakutan ini wujud di dalam dunia nyata. Arachibutyrophobia berasal dari perkataan Yunani iaitu ‘arachi’ yang bermaksud kacang tanah dan ‘butyr’ merupakan mentega. Fobia ini muncul daripada rasa takut tersedak mentega kacang yang akan melekat pada lelangit sewaktu memakannya.

Editiovultafobia

Jika ada yang tidak dapat tahan dengan kecaman dan kritikan negatif di media sosial sehingga mengganggu kehidupan seharian, mungkin anda mengalami fobia dikenali sebagai Editiovultafobia. Fobia ini sekaligus boleh menyebabkan seseorang tidak lagi menggunakan media sosial kerana bimbang akan menjadi sasaran pengguna media sosial.

Omphalophobia

Fobia ini disebabkan oleh rasa takut ketika melihat atau menyentuh pusat tidak kira milik diri sendiri mahupun orang lain. Penderita Omphalophobia biasanya akan menghindari kolam renang, bilik ganti pakaian, atau tidak melihat jika terserempak dengan sesiapa yang memakai baju singkat.

Anuptaphobia

Jika anda masih bujang dan perkara itu membuatkan anda berasa cemas sehingga terdesak untuk berkahwin, anda mungkin mengalami fobia Anuptaphobia. Masalah fobia itu membuatkan si penderitanya tidak ingin hidup bersendirian dan mereka berasa takut terhadap kesunyian yang mungkin disebabkan trauma pada masa lalu.

Nomophobia

Nomophobia merupakan singkatan dari No Mobile Phone Phobia. Fobia ini menggambarkan situasi dan keadaan psikologi penderita yang tidak boleh hidup tanpa telefon. Kemungkinan Nomophobia dialami oleh kebanyakan generasi Z kerana atas tuntutan kerja dan hiburan yang membuatkan mereka tidak boleh melepaskan telefon dari tangan. Nomophobia mempunyai gejala yang tidak jauh berbeza dari gangguan ketakutan yang lain seperti berasa cemas dan berpeluh.

Deipnophobia

Makan malam bagi kebanyakan orang merupakan aktiviti yang menyenangkan kerana boleh meluangkan masa dengan keluarga dan rakan-rakan.Namun, hal ini tidak berlaku bagi penderita Deipnophobia yang merujuk kepada ketakutan tentang topik yang akan dibincangkan ketika di meja makan. Dalam beberapa kes, penderita Deipnophobia akan berasa takut yang membuak-buak sehingga berlaku serangan panik apabila duduk di meja untuk makan malam. Fobia yang disenaraikan mungkin kedengaran tidak masuk akal, tetapi cuba perhatikan keadaan sekeliling kerana ia tidak mustahil atau mungkin berlaku pada keluarga atau rakan-rakan anda. Sumber, mstar