Tahukah anda kita akan jadi lebih bersemangat jika bersenam bersama rakan-rakan. Ramai antara kita yang ingin menurunkan berat badan tetapi biasanya tewas dengan kemalasan diri sendiri apatah lagi tiada motivasi untuk berbuat demikian. Salah satu cara untuk menaikkan motivasi ketika bersenam adalah dengan mencari teman untuk turut serta dalam aktiviti bersukan. Selain menambah keseronokan, kehadiran teman juga membolehkan pelbagai aktiviti dilakukan seperti mendaki bukit, berbasikal, berenang dan sebagainya. Akan tetapi, pemilihan rakan bersenam juga penting – bukan sahaja sebagai teman tetapi untuk memastikan mereka boleh mengikut setiap senaman yang dilakukan dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam. Mengapa teman bersenam itu sangat penting.
Wujudkan semangat kesukanan
Percayalah, sesuatu perkara itu apabila dilakukan bersama akan jadi lebih mudah. Apabila bersenam sendirian, anda mungkin akan mencipta seribu alasan untuk tidak meneruskan aktiviti yang dilakukan. Tetapi dengan adanya teman bersenam segala-galanya jadi lebih mudah dan seseorang akan lebih berdisiplin dan wujud semangat kesukanan ketika melengkapkan senaman yang dilakukan.
Tingkatkan hormon dopamin
Ketika bersenam, tubuh akan merembeskan hormon dopamin yang berperanan meningkatkan suasana hati dan membuatkan seseorang berasa lebih tenang dan gembira. Kekurangan hormon dopamin ini akan membuatkan mood bertukar buruk malah dapat meningkatkan risiko kemurungan dan gangguan kecemasan (anxiety). Disebabkan itu, bersenam bersendirian boleh menimbulkan rasa bosan dan tertekan yang pada akhirnya menyebabkan seseorang tidak bersenam dengan bersungguh-sungguh.
Faktor keselamatan
Senaman seperti mengangkat berat boleh mendatangkan risiko kecederaan. Apabila mempunyai teman, risiko berlakunya kemalangan dapat dikurangkan kerana ada seseorang mengawasi dan memantau kita. Selain itu, berjoging juga perlu pemantauan kerana terdapat kes pengsan atau pitam ketika melakukan aktiviti itu. Tambahan pula, kehadiran teman bersenam dapat membantu anda menilai gerakan dilakukan supaya dapat mengurangkan risiko kecederaan.
Senaman bersama teman panjangkan umur
Senaman melibatkan interaksi sosial boleh membantu memanjangkan usia seseorang. Sebuah kajian mendapati orang yang melakukan senaman seperti bermain badminton atau bola sepak hidup beberapa tahun lebih panjang berbanding yang mengamalkan senaman ringan seperti joging dan berbasikal. Senaman dapat memperbaiki mood sekiranya dilakukan bersama rakan-rakan. Perkara ini sekaligus dapat membantu meningkatkan disiplin serta mengekalkan komitmen terhadap aktiviti dilakukan. Sumber, mstar