Terlalu fobia untuk ke klinik gigi, Ketahui nasihat daripada pakar ini

Tahukah anda ramai dikalangan kita yang takut berjumpa doktor gigi. Ramai daripada kita yang cukup gerun apabila perlu berjumpa dengan doktor gigi malah ada yang sanggup menahan sakit apabila terbayang perlu baring di kerusi dan lampu mula dinyalakan ke arah wajah. Apatah lagi apabila doktor mula memegang jarum suntikan bius dan alatan untuk mencabut gigi, memang menyeramkan! Bagaimanapun, mereka yang takut kepada doktor tanpa sebab dikenali sebagai iatrophobia.

Jika semua perkara di atas mula membuatkan tangan anda berpeluh, sebenarnya ada cara untuk mengurangkan rasa takut dan sakit ketika berjumpa doktor gigi. Doktor gigi, Dr Jochen H. Schmidt menyarankan sesiapa yang takut atau bimbang dengan proses mencabut gigi atau rawatan lain yang menyakitkan supaya datang pada sebelah petang kerana pada waktu ini pesakit akan kurang berasa sakit. Jelas Dr Jochen, ini disebabkan oleh endorfin dan opiod yang menghalang rasa sakit dihasilkan dalam kuantiti lebih banyak pada sebelah petang.

Iatrophobia secara umumnya boleh diubati dengan terapi tingkah laku kognitif.

Ubat bius pula katanya akan berfungsi dengan lebih baik dan bertahan lebih lama. Sementara itu, menurut kajian, kira-kira 12 peratus daripada populasi manusia takut terhadap doktor manakala 19 peratus daripadanya adalah kanak-kanak. Pakar menyatakan masalah itu boleh bertukar kepada fobia apabila seseorang menangguhkan perjumpaan dengan doktor gigi dan tidak melawan rasa takut mereka.

Disebabkan itu juga, pengalaman berjumpa doktor gigi jadi lebih tidak menyenangkan apabila seseorang akhirnya menyerah diri kerana ketakutan telah menguasai diri. Mujur iatrophobia secara umumnya boleh diubati dengan terapi tingkah laku kognitif di mana doktor biasanya akan melakukan gerakan berhati-hati bagi menenangkan pesakit. Apabila melihat pesakit semakin berasa selesa, doktor gigi akan mempercepatkan kelajuan dan beransur-ansur pesakit dapat mengatasi ketakutan mereka. Sumber, mstar