Siapa tak kenal dengan pengarah ini. Pengarah dan penulis skrip filem Jerangkung Dalam Almari, Shadan Hashim bersyukur apabila karya seram Malaysia sentuhannya itu sudah mencecah kutipan ‘box office’ RM1.7 juta sehingga kelmarin. Shadan ketika dihubungi berkata, jumlah kutipan untuk tayangan hari Sabtu dan Ahad pula akan diketahui esok. Katanya, dia melihat kejayaan kutipan yang diraih sebagai perkara kedua kerana mesej cerita yang disampaikan kepada penonton lebih utama. “Saya tak sangka walaupun filem Jerangkung Dalam Almari perlu bersaing dengan filem Indonesia, Pengabdi Setan 2, tetapi jumlah penonton di pawagam masih ada.
Diharap tayangannya dapat bertahan sehingga minggu ketiga. “Walaupun Jerangkung Dalam Almari adalah karya pertama terbitan Akid Productions Sdn Bhd, tapi jalan ceritanya memang saya tulis supaya dekat dengan masyarakat. Ia kisah mistik seram yang memang berlaku dalam masyarakat kita. “Malah, sehingga sekarang perihal ilmu hitam ini masih wujud dalam masyarakat kita. Namun, yang pasti banyak mesej pengajaran dan positif boleh diambil dalam filem ini terutama ikatan kekeluargaan dan kasih sayang adik-beradik,” katanya.
Shadan berkata, dia berharap peminat filem Melayu akan terus ke pawagam menyaksikan Jerangkung Dalam Almari yang diilham berdasarkan kisah benar dalam masyarakat. “Tak dinafikan, kejayaan Jerangkung Dalam Almari juga mendapat tempias daripada filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang dibintangi oleh Datuk Adi Putra. Alhamdulillah, filem ini dapat banyak maklum balas sangat positif hingga di Singapura. “Pembabitan Adi adalah ‘bonus’ buat kami yang mana popularitinya kini sangat membantu. Semoga Jerangkung Dalam Almari juga dapat rezeki tayangan di Indonesia seperti Mat Kilau. InsyaAllah dan diharap teruslah sokong filem ini,” katanya.
Selain Adi, filem Jerangkung Dalam Almari yang ditayangkan di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 4 Ogos lalu dibintangi barisan pelakon seperti Sophia Albarakbah, Hasnul Rahmat, Wan Hanafi Su, Anne Abdullah, Zaidi Omar dan Amerul Affendi. Sumber, harian metro