Terkejut dengan harga tiket konsert Rossa, sekali Rossa tampil dedah sebab sebenar harga tiket cecah RM5k

Keterujaan peminat untuk menyaksikan konsert Datuk Seri Rossa iaitu Rossa 25th Shining Years Concert pada November depan terbantut apabila ramai terkejut dengan harga tiket yang ditawarkan sehingga mencecah RM5,000. Menjelaskan mengenai perkara itu, Rossa berkata, ia adalah bersesuaian memandangkan sebahagian daripada penjualan tiket akan diserahkan kepada badan amal iaitu Tabung Pendidikan Anak Bangsa (TAB) dan Tabung Kasih Prihatin.

“Harga tiket ditentukan oleh penganjur dan saya yakin semua sudah fikirkan sebaik-baiknya apatah lagi ia akan didermakan kepada dua badan amal. Tapi Alhamdulillah tiket bagi kategori satu dan dua sudah pun habis terjual dan ada kemungkinan kita akan jual tiket lebih rendah pada masa akan datang,” katanya.

Rossa menjelaskan perkara itu menerusi sidang media atas talian yang diadakan di ibu negara pada Jumaat. Konsert yang bakal berlangsung pada 2 November itu akan diadakan di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali pula menjelaskan kategori tiket konsert itu sebenarnya mempunyai pelbagai pilihan dan sasaran pembeli bagi setiap harga. Jelas Mohd Aizuddin, tiket dijual adalah serendah RM168 sehingga RM3,000 dan bagi tiket berharga lebih mahal hanya sekitar 100 dijual.

“Tiket-tiket yang mahal akan ditawarkan kepada golongan korporat di Malaysia bagi membantu yayasan. Tapi ini bukan sahaja membantu tetapi berhibur sambil beramal,” jelasnya. Sementara itu, bercakap mengenai konsert tersebut, Rossa memberitahu akan membawa penyanyi Judika untuk mengadakan persembahan bersamanya. Kata Rossa, ini pertama kali dia mengundang Judika dalam siri konsert ulang tahun ke-25 dan memilih Malaysia sebagai kejutan buat peminat.

“Insya Allah menerusi konsert ini nanti saya menjanjikan sesuatu yang berbeza malah penampilan Judika tidak pernah lagi saya bawa dalam mana-mana konsert di Indonesia sebelum ini. Rakyat Malaysia pun sukakan Judika dan melihat dia gandingan sesuai dalam memberi persembahan berbeza pada malam itu nanti,” katanya.

Jualan tiket Rossa 25th Shining Years Concert telah dibuka sejak 8 September lalu dan boleh ditempah menerusi laman web ticket2u.com.my. Selain itu, pembelian juga boleh dibuat secara offline bagi jualan tiket amal dan korporat di talian 013-3886533. Sumber, Mstar Online