Bertuah Elisya Sandha ada ibu mentua yang sering kongsi tips, Sheila Rusly akui sering terus terang dengan masakan menantunya

Sheila Rusly berkongsi tip cara jaga suami bersama menantu. Penerbit dan pelakon Sheila Rusly memuji menantunya iaitu Elisya Sandha kerana dilihat semakin hebat memasak di dapur. Kata Sheila, 51, sebelum berkahwin Elisya tidaklah begitu pandai memasak disebabkan faktor aktres itu tinggal sendirian. Namun selepas bertunang dengan anak lelakinya iaitu Uzair Haqimy, Elisya mengambil inisiatif belajar memasak dengannya di rumah. “Sewaktu bertunang, Elisya selalu datang ke rumah saya dan lihat sendiri bagaimana saya melayan anak-anak dan suami. Dari kecil lagi anak-anak saya sudah makan makanan yang dimasak oleh saya, jadi Elisya perlu tahu menilai rasa untuk menjamu selera suaminya nanti,” katanya.

Sheila tidak meletakkan syarat untuk memilih menantu yang pandai memasak.

Sheila berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di sidang media program realiti terbaharu Dapur Tempur yang diadakan di Sunway Geo, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa. Dalam pada itu, Sheila berkata dia sentiasa membimbing dan mengajar menantunya itu mengenai ilmu masakan. “Bila dia masak tak sampai level seperti saya, dia akan cuba perbaiki sebab suaminya sudah pernah rasa masakan yang on point tapi dia belum sampai ke tahap itu lagi. Jadi, dia memang selalu mencuba sehinggalah sampai ke tahap itu. Saya tidak kata Elisya masak tak sedap, cuma untuk betul-betul rasa yang sama masih banyak lagi perlu belajar daripada saya,” ujarnya.

Keluarga bahagia Sheila bersama suami, anak dan menantu.

Kata Sheila lagi, Elisya sentiasa menunjukkan reaksi gembira dan teruja apabila masakannya itu menerima pujian. “Semalam Elisya ada masak ayam geprek dan saya puji sedap dan berikannya markah almost A. Dia begitu teruja! Malah siap bertanya dimana silap dan kenapa tidak boleh dapat A… saya cakap nak dapat A bukan boleh bagi senang-senang. Almost A tu pun dah kira bagus. Saya selalu berkongsi tip dengan Elisya, kalau nak bahagiakan suami, jaga hati dan perut suami. InsyaAllah bahagia rumah tangga,” jelasnya. Bercakap mengenai Dapur Tempur, Sheila bakal menggalas tanggungjawab sebagai juri bersama Chef Adu. Program ini bakal bersiaran setiap hari Khamis pukul 8.30 malam di saluran TV9 bermula 3 November depan. Sumber, Mstar Online