Sharul tahu jaga batas dalam lakonan. Sedar tanggungjawab seorang suami untuk menjaga hati isteri, penyanyi dan pelakon Sharul Kamal tidak rela menerima tawaran berlakon melibatkan babak romantis dan bersentuhan dengan mana-mana aktres wanita. Shahrul atau Muhammad Sharul Amin Kamarozaman, 26, berkata, disebabkan itu juga dia lebih selesa memberi fokus kepada bidang muzik dan hanya akan berlakon sekiranya mendapat watak bersesuaian dengan syarat diletakkan.
“Memang isteri tak pernah letakkan batas tetapi saya kena sedar diri dan tahu tanggungjawab saya sebagai seorang suami. Isteri saya pernah beri hint tentang apa yang saya sendiri rasa apabila melihat dirinya bersentuhan dengan lelaki lain… dekat situ saya sudah boleh faham. Jika ada tawaran berlakon memerlukan sentuhan, lebih baik saya lepaskan. Saya juga bukanlah asalnya seorang pelakon, jadi biarlah watak tersebut diberikan kepada orang yang lebih layak,” katanya.
Sharul mendirikan rumah tangga dengan seorang pegawai perhubungan awam sebuah syarikat rakaman iaitu Raihan Amilin pada 1 Januari lalu. Sementara itu bercakap tentang kerjaya dalam bidang muzik, Sharul menepis dakwaan dia kurang aktif disebabkan lagunya kurang mendapat sambutan peminat. Percaya kepada bakat sendiri, Sharul yakin suatu hari nanti namanya akan lebih dikenali menerusi karya-karya berkualiti. “Ramai yang kata saya hilang dalam industri. Sedangkan saya masih aktif terlibat dalam program hiburan serta menghasilkan lagu-lagu untuk orang lain selain diri sendiri.
Saya juga bukanlah asalnya seorang pelakon, jadi biarlah watak tersebut diberikan kepada orang lain yang lebih layak
“Nak mencapai tahap komersial dan sedap di telinga pendengar bukan mudah. Sebab itu saya masih mencari resepi supaya lagu dihasilkan boleh mendapat sambutan baik. Saya hidup selama ini dalam bidang muzik dan saya akan teruskan. Ini adalah bakat yang saya miliki dan satu hari nanti pasti orang akan kenal nama Sharul Kamal,” ujarnya.
Pernah melalui pasang surut dalam industri seni tidak membuatkan Sharul berputus asa kerana baginya jalan dipilih ini sudah diatur dengan baik untuk dia terus berjuang. Meskipun lagunya kurang mendapat sambutan pendengar, Sharul masih bertahan kerana minat mendalam sebagai anak seni. “Saya tidak pernah putus asa sebab minat yang mendalam. Kemudian Allah pertemukan saya dengan isteri yang juga terlibat dalam dunia seni. Jadi jalan itu sudah diatur dengan baik. Percayalah pada rezeki ini. Kalau lagu saya tak capai 100,000 view pun saya tidak kisah. Saya akan terus buat lagu baru dan terpulang kepada pendengar untuk menilai,” jelasnya. Sumber, Mstar Online