Mohon kerajaan negeri benarkan buka pawagam di Kelantan, sekali Syed Aiman usulkan syarat yang bolehkan ianya dibuka

Pelakon, Syed Aiman merayu kepada kerajaan negeri Kelantan supaya menimbang cadangan untuk membenarkan pawagam patuh syariah beroperasi di negeri itu.

Pawagam patuh syariah

Menurut Syed Aiman Syed Mahmud, 47, kerajaan negeri wajar membenarkan kemudahan panggung wayang dibuka dengan mematuhi beberapa syarat yang boleh ditetapkan pihak berkuasa. Tambah Syed Aiman, kerajaan negeri wajar mendengar permintaan penggiat seni yang mahukan pawagam beroperasi di Kelantan.

” Semua orang tahu di Kelantan, tiada panggung wayang. Sekarang ini, rakyat Kelantan kalau hendak tengok wayang, kena pergi Terengganu. Di sana terletak panggung wayang terdekat. Tetapi dengan adanya sesi dialog bersama EXCO kerajaan negeri, mungkin kita boleh dapat jawapan dalam usaha mewujudkan panggung wayang di Kelantan. Sebenarnya, panggung wayang itu di mana-mana pun boleh buat. Tetapi di Kelantan, ada syarat yang perlu dipatuhi. Jadi, perkara ini boleh dilaksanakan. Kita pernah dengar dahulu hendak bina panggung wayang di Kelantan, boleh, tetapi tempat duduk perempuan dan lelaki diasingkan. Selain itu, pada waktu Maghrib tiada tayangan filem. Syarat seperti itu, bagi saya mudah, kita boleh ikut.”

Nampak ada sinar

Suami kepada penyanyi, Linda Rafar ini turut menyatakan bahawa dia akan berasa gembira sekiranya permohonan ini mendapat reaksi positif daripada pihak kerajaan negeri.” Kerajaan negeri tidaklah tegas menolak. Disebabkan itu, ada sesi dialog yang membincangkan mengenai kehendak penggiat seni. Setakat ini, Alhamdulillah, ada nampak sinar. Alhamdulillah, kerajaan sudah ambil maklum perkara ini. Jadi, dengan kebijaksanaan kerajaan negeri, saya percaya mereka akan mengusahakannya. Kami cuba memohon agar pawagam dibuka di Kelantan, namun keputusan dan kelulusan di tangan mereka.”