Dah jarang muncul di siaran TV, Shuib dedah bukan sebabkan demand tapi ini puncanya

Shuib memilih tawaran kerja yang membuatkan dirinya gembira. Pelawak dan penyampai radio Suria FM menolak tanggapan sesetengah pihak yang mendkwa dia bersikap demand disebabkan jarang muncul dalam mana-mana program televisyen atau projek lakonan.

Shuib atau Shahmira Muhamad, 38, memberitahu selepas lebih 10 tahun terlibat dalam industri hiburan, dia lebih mengutamakan keseronokan bekerja berbanding sikap tamak membolot semua tawaran diberikan kepadanya.

Shuib bersama rakan penyampai Suria, Ajak dan Suraya.

“Saya tidak rasa ada isu demand. Dalam usia sekarang ini saya lebih mencari keseronokan bekerja untuk hiburkan diri sendiri. Kalau dapat tawaran kerja melibatkan kawan-kawan, memang saya suka. Kalau payment besar sekalipun tetapi tidak happy nak buat apa? Boleh sahaja saya terima tawaran kerja tanpa bayaran asalkan tak stress. Sekarang ini kena fikirkan diri sendiri,” katanya.

Tambah Shuib, kemunculannya sebagai penyampai segmen Morning Morning Suria sejak September lalu juga sebagai tanda kembali aktif selepas setahun berehat dari aktiviti seni kerana pemergian isterinya Allahyarham Siti Sarah pada Ogos 2021. Mengharapkan sokongan peminat, kata Shuib ia juga menjadi pembakar semangat untuk dia melupakan kesedihan.

Saya mahu kembali mengisi masa yang ada dan mengharapkan sokongan semua apabila kembali aktif dalam industri.

“Saya mahu kembali mengisi masa yang ada dan mengharapkan sokongan semua apabila kembali aktif dalam industri. Menghiburkan peminat bagaikan sudah menjadi darah daging. Saya mahu rasa happy dan boleh buat saya untuk move on. Sokongan peminat boleh memberi saya semangat,” ujarnya.

Shuib juga mula aktif terlibat dalam program televisyen.

Sementara itu Shuib juga akur akan kehadiran barisan pelawak baharu yang memeriahkan industri seni tempatan selain boleh memberi satu persaingan sihat antara mereka. Yakin telah membina nama kukuh sebagai seorang anak seni, Shuib menyerahkan sepenuhnya kepada peminat untuk terus menerima kehadirannya dalam industri.

“Kalau dahulu saya bekerja untuk membina nama Shuib, sekarang ini tonjolkan apa yang ada dalam diri sendiri. Saya tidak boleh nak jadi orang lain kerana inilah Shuib. Terpulang kepada orang ramai untuk terima kehadiran saya. Namun apa sahaja tawaran, saya akan lakukan yang terbaik,” jelasnya. Sumber, Mstar Online