Nampak rapat betul ank murid dengan cikgu, hubungan mesra guru berbangsa India dengan murid lain mendapat perhatian warganet

Biarpun cuti penggal persekolahan baru bermula semalam, namun guru ini, C Gayathiri, 28, mengakui sudah merindui keletah murid kelasnya yang semuanya berbangsa Melayu. Mesra disapa Cikgu Gaya, wanita itu menjalin hubungan akrab dengan semua muridnya tanpa mengambil kira perbezaan budaya, bangsa dan agama antara mereka. Itu dapat dibuktikan melalui satu rakaman video di akaun TikToknya yang tular di media sosial apabila muridnya bersalam sambil ada yang memeluk dan mencium pipinya pada Jumaat lalu. Malah ada muridnya memeluk sambil ‘mencekik’ manja lehernya, namun Cikgu Gaya sama sekali tidak menunjukkan reaksi terkejut atau marah. Klik sini untuk lihat video.

Rakaman video itu meraih 3.8 juta tontonan dengan lebih 300,000 tanda suka dan 2,792 komen netizen yang rata-ratanya semua memuji keakraban serta kemesraan hubungan antara guru dan murid itu. Cikgu Gaya berkata, dia sudah menganggap semua muridnya seperti anak sendiri dan mahu mendidik mereka menjadi insan berguna kepada keluarga dan negara suatu hari nanti. Menurutnya, dia mengajar murid tahun satu dan dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Kementah, di sini sejak lebih tiga tahun lalu dan mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris serta Matematik. Video itu dirakam selepas tamat kelas ganti untuk tahun satu dan kebetulan saya memang mengajar mereka dan turut menjadi guru kelas itu.

Kami berjumpa setiap hari dan memang begitu cara kami bermesra. Dengan murid lelaki tahun satu atau dua juga begitu kerana bagi saya mereka masih budak lagi cuma kalau murid lelaki tahun lima ke atas mestilah ada batas juga,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini. Katanya, biarpun dia melayan muridnya dengan mesra tetapi dia mengakui tetap bersikap tegas supaya muridnya tidak ‘hanyut’ dengan layanan itu sekali gus memberi perhatian penuh dalam kelas.

Hasilnya murid menyiapkan kerja sekolah dengan baik. Bagi saya apabila melayan murid dengan cara yang betul mereka pasti akan menyukai kita sekali gus turut menjadikan kita suka kerja ini dan usaha mendidik murid juga lancar. Sebagai guru saya tidak melihat perbezaan untuk mendekati murid dan kita juga perlu menjadi ‘idola’ untuk mengajar mereka, berkawan dengan orang tanpa mengira kaum dan semua itu bermula dari sekolah.

Saya juga banyak belajar daripada mereka dan biarpun baru berusia tujuh tahun tetapi mereka sudah tahu menghormati orang lebih berusia,” kata bekas penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Hulu Kinta di Perak. Menurut Cikgu Gaya, dia bercita-cita menjadi guru sejak di bangku sekolah, malah tekadnya hanya satu iaitu mahu mendidik muridnya tanpa mengira perbezaan kaum dan budaya supaya berjaya. Katanya, sekolah itu adalah sekolah pertamanya dan mengakui sebelum ini dia sempat berasa bimbang kerana tidak berpengalaman mengajar di sekolah kebangsaan dan murid yang lebih ramai. Saya menjalani latihan mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan gugup juga apabila dihantar ke sekolah kebangsaan, malah sekolahnya juga besar.

Saya hanya mengambil masa seminggu saja untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru hasil bantuan warga sekolah termasuk guru besar, Hilmy Mat@Othman. Setakat ini hanya ada dua cikgu berbangsa India di sekolah ini dan majoriti semuanya Melayu dan 10 peratus murid adalah Sabah dan Sarawak tetapi kami semua sudah seperti keluarga,” katanya yang sudah berkahwin. Berhubung video tular itu, Cikgu Gaya berkata, dia mahu menunjukkan kerjaya seorang guru biarpun mencabar tetapi menyeronokkan dan ia sebagai inspirasi kepada mereka yang mahu menjadi guru.

Katanya, video itu dirakam ketika sesi persekolahan tamat dan ada juga beberapa murid yang turut bersedih apabila terpaksa berpisah sementara. Sebelum itu saya sempat mengusik mereka, cakap saya mahu berpindah mengikut suami dan mereka minta jangan pindah sekolah. Saya menyayangi mereka yang sudah dianggap seperti anak sendiri, malah sekarang sudah berasa rindu ke sekolah,” katanya yang mengakui sangat mencintai kerjayanya.

Kredit Harian Metro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.