DI SEBALIK kejayaan yang dicapai personaliti media sosial Ryan Bakery, siapa sangka isterinya iaitu Elyia Ibrahim, 24, adalah insan penting yang banyak memberi sokongan dan sanggup mengeluarkan modal ketika awal pembabitannya dahulu sebelum mereka berkahwin. Ryan atau Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 28, berkata wanita itu satu-satunya orang yang mempercayai bakatnya dalam bidang ini sehingga terbukti berjaya meraih jutaan pengikut di media sosial. “Sekitar tahun 2020 ketika tempoh pandemik Covid-19, saya diberhentikan kerja dan mula berniaga popia. Kemudian saya buat video untuk tingkatkan pendapatan. Pada masa itu dialah orang yang percaya dengan apa yang saya mahu buat.
“Walaupun belum berkahwin dia sanggup keluar duit sendiri untuk membeli kelengkapan membuat video meskipun gaji tidaklah terlalu tinggi. Saya sampai ke tahap sekarang ini juga disebabkan dia. Banyak modal yang telah dikeluarkan. Apa sahaja yang saya mahu dia akan belikan,” katanya. Ryan ditemui pada majlis Gempak Most Wanted Awards (GMWA) 2022 yang berlangsung di Dewan MBSA, Shah Alam pada malam Ahad. Mula dikenali ramai, kata Ryan dia juga tidak terlepas dari kritikan warganet yang menganggap isterinya itu menumpang populariti kerana selalu dilihat bersama ketika menghadiri majlis.
“Kalau dulu saya pun rasa ‘koyak’ juga membaca komen begitu dan isteri pun down apabila kena kritik. Tetapi inilah cara saya menghargai segala pengorbanan isteri dengan membawa dia ke mana-mana acara. “Malah sebelum ini pun ketika mula memperoleh pendapatan hasil dari kandungan di media sosial, saya segera bernikah dengannya untuk menghalalkan hubungan kami,” jelasnya. Dalam edisi pertama majlis anugerah tersebut, Ryan menerima anugerah Digital Content Creator Tergempak. Ketika namanya disebut sebagai pemenang dan tampil mengambil trofi di atas pentas, Elyia dilihat tidak dapat menahan air mata kerana terlalu gembira dengan kejayaan tersebut.
“Kami melalui susah payah bersama bermula dari kosong sehingga ke tahap ini. Memang tidak sangka dia akan menang. Apabila namanya disebut saya terus rasa sebak. Kami sudah lama kenal sejak zaman belajar. Apabila dia berdepan dengan waktu sukar dibuang kerja, tak mungkin saya akan tinggalkannya. Saya percaya dengan apa yang dia lakukan,” ujar. Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober tahun lalu. Sumber, Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.