HINGGA kini tiada siapa dapat merungkai apakah yang berlaku sebaik pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi, 8 Mac 2014. Setelah genap sembilan tahun hari ini, kehilangan pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu terus diselubungi misteri. Namun kejadian itu masih segar dalam ingatan ramai terutama dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya keluarga penumpang dan anak kapal. Ini termasuklah isteri kepada pramugara, Allahyarham Mohd Hazrin Mohamed Hasnan iaitu Intan Maizura Othaman, 43.
Mohd Hazrin merupakan antara 239 penumpang dan anak kapal yang menaiki pesawat MH370 pada 8 Mac 2014. Wanita cekal ini berkongsi luahan dan kerinduannya terhadap suami menerusi hantaran di laman sosial, pada Rabu. “Hey B, kali terakhir I mendengar suara you sembilan tahun lalu. Dan teka apa, I masih ingat bagaimana suaranya sembilan tahun kemudian, dan ia adalah hari ini. Ia masih segar dan selamanya akan menjadi halwa telinga I,” tulisnya. Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, suaminya akan sentiasa diingati buat selama-lamanya.
“You mungkin tiada, tapi tidak akan dilupakan. Cintaku, hatiku, jiwaku sentiasa selamanya. I akan jumpa you suatu hari nanti, insyaAllah. Semoga Allah merahmati you dan menempatkan you bersama orang-orang yang soleh,” kata Intan lagi mendoakan suaminya. Bercakap mengenai kehilangan dan pemergian, Intan yang merupakan usahawan dan ejen takaful itu berkata, ia merupakan sesuatu yang tidak dapat dijangka. “Tapi Allah dah janji (pemergian) itu pasti. Kalau orang tu dah pergi, tiada apa yang boleh kita buat. Sementara anda ada insan tersayang, hargai mereka. Sebab apabila mereka pergi, dah terlambat, tak boleh nak cakap apa dah. Satu-satunya perkara yang anda boleh lakukan sekarang adalah menghargai mereka.
“Kalau sebagai seorang isteri la kan, iyalah kita dengan suami… banyak dosa dengan suami. Banyak-banyak minta maaf sebab kita tak akan tahu bila kita akan pergi,” katanya yang berkongsi nasihat kepada kaum isteri. Menerusi video ‘Mengenang MH370’ yang dimuat naik penyanyi dan pelakon serta bekas pramugara, Zarul Umbrella di TikTok pada Rabu, Intan turut berkongsi nasihat supaya menghargai setiap detik bersama insan tersayang. “Dengan teknologi yang ada sekarang ni, macam saya dengan suami suka buat dulu adalah kami suka ambil gambar, video.
“Jadi rajin-rajin la ambil gambar, video. Siapa tahu kalau jadi kes macam saya, contoh la. Hilang orang, hilang suami macam tu je… suami pergi menghadap illahi. Sekurang-kurangnya dia punya kenangan tetap ada, anda masih boleh dengar suara dia, boleh tengok muka dia,” ujarnya lagi. Tambah Intan yang hamil zuriat kedua ketika kehilangan pesawat MH370, anak lelakinya yang kini berusia sembilan tahun bernama Muhammad tetap berpeluang untuk mengenali bapanya. “Macam anak saya Muhammad, dia tak sempat tengok muka papa dia. Tapi seawal usia dia, dia dah kenal itu papa sebab daripada bayi kita dah tunjuk (gambar, video) itu papa.
“Jadi sampai sekarang, dia dah kenal papa dia… dia dengar suara papa dia hari-hari. Ini kebaikan apabila anda menggunakan segala media dan teknologi dengan sebetulnya. Itu adalah nasihat saya sebab saya dah melalui perkara itu,” katanya yang juga dikurniakan cahaya mata perempuan, Iman berusia 14 tahun selain Muhammad, hasil perkahwinannya dengan Mohd Hazrin. Kredit, Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.