Dapat beraya dengan kereta baru, individu ni hadiahkan axia baru pada ibu di pagi raya

Selain membalas kebaikan mereka, memberi kemewahan dan kesenangan merupakan antara usaha yang cuba dilakukan anak-anak. Begitulah usaha yang dilakukan Muhammad Akmal Arif Anuar, 27 apabila dia menghadiahkan sebuah kereta Perodua Axia keluaran 2023 kepada ibunya, Nor Azura Abdul Rahman, 52, pada 1 Syawal lalu. Momen berkenaan dikongsikan Akmal di TikTok selepas ia dirakamkan ahli keluarganya sendiri ketika dia menyerahkan kunci kereta di pagi Hari Raya 22 April lalu. “Mama saya cuma ada kereta Kancil je yang digunakan sejak 2010. Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk hadiahkan mama kereta baharu.

“Kereta tu saya dah beli sejak sebulan lepas tapi sengaja simpan dulu untuk diberi pada 1 Syawal sebab nak lebih feel dan gembirakan mama. Famili pun ramai berkumpul jadi lebih meriah untuk raikan hadiah kereta tu bersama,” ujarnya. Menurut anak sulung daripada tiga adik beradik itu, dia mengambil masa enam bulan untuk mengumpul wang pendahuluan bagi mendapatkan kereta tersebut. Berkat usahanya untuk membahagiakan si ibu, Akmal yang menjalankan perniagaan sejak awal tahun 2022 berjaya membuat simpanan sekitar RM500 bagi setiap bulan. Ujarnya lagi yang merupakan bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seremban, Negeri Sembilan, dia ingin menjadikan perkara ini sebagai rutin setiap kali menjelang Hari Raya.

“Tahun lalu saya berikan mama telefon jenama iPhone 13 sebagai hadiah pertama masa mula berniaga buka kedai. Sebelum ni saya masih belajar jadi tak ada kemampuan nak beli hadiah mahal-mahal. Sekarang apabila dah ada bisnes sendiri, saya asingkan duit gaji setiap bulan untuk deposit kereta. Nampak usaha ni kecil tapi kereta tu sesuatu yang sangat bermakna bagi keluarga saya sebab kami pernah hidup susah dulu. Saya merancang untuk jadikan semua ni sebagai satu tradisi tanda menghargai mama. Ayah saya pergi menghadap illahi tahun 2014 masa saya belajar di Terengganu. Jadi mama saja ‘harta’ yang ada untuk saya bahagiakan sekarang,” katanya lagi.

Sebagaimana dinyatakan di dalam video, Akmal menjelaskan bahawa hasratnya untuk menghadiahkan kereta pada tahun lalu tidak kesampaian. Ia berikutan ujian besar menimpanya apabila kedai yang baru saja mula beroperasi dirompak pada Jun 2022 sehingga mengalami kerugian hampir RM50,000. Namun, perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berniaga mencari rezeki walaupun hampir 90 peratus perniagaannya hilang begitu sahaja.

“Lepas kena rompak tu saya buat rancangan dengan bina cash reserve company. Saya gunakan networking dengan pembekal yang saya kenal sekian lama untuk dapatkan stok secara term (ambil barang dahulu kemudian baru bayar). “Lama-kelamaan saya bangun semula untuk pulihkan perniagaan. Sebelum ni saya ada beritahu mama nak belikan motosikal harga ‘murah-murah’ saja dengan nombor plat sama dengan kereta saya guna sekarang iaitu 3016. “Saya beritahu macam tu sebenarnya nak dapatkan restu dan keberkatan dalam usaha nak belikan dia kereta secara senyap-senyap. Sebenarnya nombor plat tu saya belikan untuk kereta mama tanpa pengetahuan dia,” imbas Akmal.

Hantaran dibuat Akmal meraih lebih 3.4 juta jumlah tontonan di TikTok. Tidak menyangka video tersebut meraih perhatian warganet, Akmal yang kini menetap di Setapak, Kuala Lumpur berharap ia boleh dijadikan inspirasi buat orang lain. “Bagi saya, wang ringgit dan harta sentiasa ada jalan untuk kita cari dan kumpul tapi mak ayah ni tiada ganti. Kita tak tahu mereka diberikan hayat sampai bila. Jadi usaha semampu mungkin untuk bahagiakan mereka. “Kita akan sentiasa risau duit tak cukup tapi rezeki tu milik Allah. Yakin dengan semua tu dengan buat apa saja bagi memenuhi keperluan mak ayah dan insyAllah rezeki kita pun jadi luas. “Ibu bapa kita adalah ‘syurga’ yang melahirkan dan membesarkan kita. Tak akan ada nilai duit yang setimpal dengan pengorbanan mereka tapi sebagai anak, usahakan selagi boleh untuk bahagiakan orang tua kita,” ujarnya lagi.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.