BAGI peminat penghibur wanita tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pastinya tidak sabar menantikan Konsert Satu Suara Vol 3 yang membabitkan biduanita itu bersama dua penyanyi lain iaitu Jay Jay dan Ernie Zakri yang berlangsung pada 13 Mei ini di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza.
Kemunculan Siti, 44, yang amat popular dengan lagu Jerat Percintaan dan Biarlah Rahsia ini begitu ditunggu peminatnya yang ramai kerana kelunakan dan kemerduan suara beliau apabila menyanyikan pelbagai genre lagu.
Beri lagu bergenre pop, balada, R&B, tradisional Melayu dan apa saja rentak irama, ia tidak pernah menjadi halangan buat Siti untuk memberi persembahan terbaik. Baginya, kepuasan hiburan untuk penonton yang datang menyaksikan konsertnya paling utama.
“Saya akan pastikan peminat dan penonton yang hadir pada konsert dijayakan benar-benar terhibur dan mereka pulang ke rumah dengan perasaan gembira dan puas hati. Apatah lagi, mereka sudah membeli tiket untuk menyaksikan konsert saya.
Sejujurnya saya amat berterima kasih dengan segala sokongan diberikan peminat sejak dulu mula menyanyi sehingga sekarang. Hanya terima kasih mampu saya ucapkan kepada kalian semua yang tidak pernah jemu dan terus memberi saya sokongan,” katanya.
Sehubungan itu, Siti turut menyediakan hadiah istimewa kepada penonton bertuah yang membeli tiket bagi menyaksikan Konsert Satu Suara Vol 3 berkenaan. Katanya, ia sebagai tanda terima kasih daripada pihaknya.
“Penonton yang membeli tiket Konsert Satu Suara Vol 3 ini berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah disediakan. Antaranya, pakej umrah daripada Jay Ibrahim Al Islam sebagai hadiah utama.
Selain itu, disediakan juga empat hadiah tiket penerbangan ke Arab Saudi untuk cuba dimenangi. Cuma syarat penyertaan perlu dapatkan tiket konsert dan kalau ada rezeki anda bakal memenangi hadiah cabutan bertuah ini,” katanya. Teruja dengan pembabitan Jay Jay dan Ernie dalam Konsert Satu Suara Vol 3 itu, ibu dua cahaya mata juga usahawan ini berkata, beliau sangat tertarik dengan vokal nyanyian dua figura berlainan zaman itu.
Abang Jay Jay sudah menyanyi sejak era 1970-an dan sampai sekarang vokalnya masih lunak dan sedap didengar. Malah, dia (Jay Jay) juga mempunyai banyak rangkaian lagu yang ‘evergreen’ (malar segar) yang saya sangat suka. Ernie pula dia kini sudah menjadi antara penyanyi wanita tanah air yang berjaya. Saya yang melihat dia menyanyi sejak kanak-kanak dulu amat kagum dengan kemantapan vokalnya terutama ketika menyanyi nada tinggi. Dia (Ernie) penyanyi yang amat bagus,” katanya.
Berharap Konsert Satu Suara Vol 3 itu mendapat sambutan baik daripada penonton dan peminatnya, Siti sebelum ini pernah menjayakan Konsert Satu Suara Vol 1 pada 2010 dan Konsert Satu Suara Vol 2 pada 2015. Kredit Harian Metro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.