DITAWARKAN peluang menjadi salah seorang peserta dalam program realiti komedi Mega Spontan 2023, pelakon Ramona Zamzam bagaimanapun tidak mahu dirinya dikenali sebagai pelawak. Kata Ramona atau Ros Ramona Zamzam, 33, pada awalnya dia teragak-agak untuk menerima tawaran itu kerana bimbang dilabel sebagai seorang pelawak. “Mula-mula saya dapat tawaran saya macam tak pasti sebenarnya sebab saya bimbang program ini lebih ke arah pelawak. “Macam mana kalau nanti saya akan mula digelar sebagai pelawak. Saya tidak rasa ia adalah misi utama saya untuk masuk dalam industri hiburan ini.
“Saya memang datang daripada bidang lakonan. Jadi, kalau boleh saya nak beri fokus lebih kepada berlakon,” katanya. Ramona berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Mega Spontan 2023 yang diadakan di Hotel Vivatel, Kuala Lumpur pada Khamis. Selepas mempertimbangkan tawaran itu, Ramona berkata dia akhirnya bersetuju menyahut cabaran tersebut selepas mengadakan beberapa perbincangan bersama pihak produksi. “Bukan kata tak nak cuma saya hanya risau jika program ini membawa saya ke arah menjadi seorang pelawak. Bila saya selidik, rasa macam menarik juga tawaran ni sebab saya memang suka buat benda baharu.
“Bila dah berbincang untuk beberapa kali, saya terus bersetuju sebab kalau tak cuba takkan tahu dan kita takkan terima cabaran tu,” ujarnya. Sementara itu, pelakon drama Nora Elena itu juga meluahkan kebimbangan sekiranya dia terlupa untuk menjiwai watak-watak berat dalam drama. Pun begitu, Ramona tidak menolak setiap tawaran yang datang dan menganggap ia adalah sebuah rezeki untuk dia meneruskan kerjaya dalam dunia hiburan. Saya pun dah selesa digelar sebagai pelakon dan bukannya pelawak. Saya risau bila dah lama tak berlakon watak serius kita lupa macam mana nak feel watak-watak berat. Tapi saya tidak menolak setiap tawaran yang ada kerana menganggap semuanya adalah satu rezeki.
“Saya pun sebenarnya sangat bersyukur asalkan dapat meneruskan kerjaya. Syukur sangat Alhamdulillah saya tak nak complaint,” katanya. Selain Ramona, Mega Spontan 2023 turut disertai oleh barisan selebriti popular tanah air termasuk Mark Adam, Adlin Aman Ramli, Naim Daniel dan Datuk Jalaluddin Hassan. Mega Spontan akan berlangsung selama lapan minggu dan bersiaran secara langsung mulai 19 Mei ini, setiap Jumaat pada pukul 9 malam di Astro Warna (saluran 107).
Sumber: MStar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.