SETIAP perniagaan pasti mempunyai gimik dan pendekatan mereka yang tersendiri untuk menjadi lain daripada yang lain. Ia dianggap bonus andai kata gimik yang dilakukan itu berjaya menjadi bualan ramai dan tular di media sosial. Begitulah apa yang dapat diperhatikan apabila sebuah gerai dipercayai di sebuah pasar malam di Shah Alam menggunakan akuarium kaca untuk menjual air balang. Melalui satu hantaran tular di Facebook, kelihatan peniaga itu turut menyertakan pam penapis air sebagai alat pembancuh minuman walaupun ia kebiasaannya digunakan untuk mengitar air di dalam akuarium.
Tidak dapat ditentukan secara pasti apa motif penjualan air dengan kaedah sebegitu, tetapi rata-rata warga maya berspekulasi bahawa ia adalah untuk tujuan ‘kosmetik’ agar ditularkan. Demikian kesukaan para peniaga untuk memburu trend ‘hipster’ iaitu untuk menjadi sesuatu yang luar biasa dan mampu memukau pelanggan. Melewati ruangan komen, walaupun teknik penjualan air minuman itu jelas mempunyai beberapa risiko kesihatan tetapi sesetengah pelayar masih cuba menegakkan benang yang basah. “Makan nasi goreng dalam bungkusan polisterin tu tak ada pula kisah ikut piawaian keselamatan makanan (food grade) ke apa. Padahal apabila dah habis makan nampak polisterin tu mencair kena makanan panas.
“Terpaling la nak risau akuarium tu food grade ke tak, korang melahap mi segera sejak kecil masih hidup sihat kan sekarang. Bukan selalu pun nak minum air dari akuarium tu, aku dulu buat do it yourself (DIY) peralatan barbeku, aku guna dawai dari kedai hardware nak buat jaring untuk letak daging dan ayam, elok je masak guna api panas. “Ikan pun makhluk bernyawa kan, mereka boleh je hidup dalam akuarium, tak akan manusia lemah sangat sampai tak boleh tahan,” kata sebahagian warga maya dalam penafian.
Ketika ramai warga maya memberikan pandangan yang semberono, beberapa warganet tampil mengemukakan penjelasan saintifik tentang mengapa penjualan air minuman di dalam akuarium adalah tidak sihat untuk kesihatan manusia. “Menggunakan bahan yang bukan food grade untuk mengendalikan makanan adalah sangat berisiko.
“Bahan-bahan yang bukan dikategorikan food grade mungkin mengandungi bahan kimia berbahaya yang dapat memasuki makanan atau minuman dan menyebabkan masalah kesihatan jika dimakan atau diminum. Selain itu bahan bukan food grade boleh melepaskan zat beracun ketika terkena suhu panas dan sejuk melampau atau terdegradasi dalam jangka masa tertentu. Penting untuk selalu menggunakan peralatan dan bahan yang telah ditetapkan secara khusus untuk menyimpan makanan atau minuman agar terhindar dari risiko kesihatan,” kata seorang warga maya.
Selain itu seorang lagi warganet mengingatkan pengguna tentang gam silikon yang terdapat pada akuarium kaca. “Kat akuarium kaca tu ada silokon. Silikon yang bukan food grade antaranya adalah BPA (Bisphenol A), BPS (Bisphenol S), ftalat, PVC (Polyvinyl Chloride), LDPE (Low Density Polyethylene), PP (Polypropylene), PS (Polystyrene), atau PC (Polycarbonate). “Pada hanging filter ada motor yang berfungsi sebagai penyedut air. Terdapat minyak gris pada motor tersebut,” katanya. Seorang warga maya pula berkongsikan tip untuk memeriksa piawaian keselamatan makanan dalam suatu bekas penyimpan.
“Nak tahu suatu bekas makanan atau minuman tu food grade atau tidak, tengok logo segi tiga dengan angka 3, 4, 5, 6, atau 7 di dalamnya. “Kalau segi tiga dengan angka 1 atau 2 di dalamnya, itu bermaksud balang tersebut hanya boleh digunakan sekali dan tidak boleh dipanaskan atau dibekukan,” jelas warga maya itu. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.