Hadiahkan kain pelikat dekat ank umur 8 tahun, tapi reaksi dia tu yang jadi perhatian ramai

KETERUJAAN seorang kanak-kanak lelaki menerima hadiah sepasang kain pelikat daripada bapanya mengundang perhatian warganet. Mana tidaknya, ramai yang terharu melihat reaksinya yang begitu menghargai pemberian kain tersebut untuk dipakai ketika menunaikan solat itu. Menurut Syazlina Azman, 30, sebelum ini anaknya hanya menggunakan kain pelikat milik suaminya, Don Nazar Mustafa, 43 untuk beribadah. Dek kerana itu dia dan suami memutuskan untuk berikan hadiah tersebut apabila melihat kesungguhan anak sulungnya, Don Aryan Malikh Don Nazar, 8, menunaikan solat lima waktu setiap hari.

“Selepas solat maghrib, kami buat kejutan bagi Aryan kain solat yang dibeli online. Masa berikan kain tu dia punya gembira macam dapat permainan PlayStation. Sebelum ni Aryan cuma gunakan kain pelikat milik daddy dia, susah sikit dia nak solat. “Sementara kami berikan kain tu sementara nak tunggu solat Isyak, dia terus cuba duduk tahiyat akhir pakai kain tu sebab seronok sangat. Perasaan saya sebagai ibu pun happy tengok anak suka solat,” katanya yang senang disapa Lina. Imbas Lina yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata ini, Aryan mula belajar bersembahyang pada usianya seawal empat tahun.

Bukan itu sahaja, kata si ibu yang memiliki perniagaan sendiri itu, Aryan sudah mula menghafal surah al-Fatihah pada usia yang sama. Bagaimanapun, Aryan hanya mula mengambil serius untuk memenuhi waktu solatnya pada bulan Ramadan tahun ini. “Dulu masa mula belajar solat dia setakat main-main saja sehinggalah sampai darjah satu masih tak penuh solat lima waktu. “Tapi mula tahun ni dia cuba puasa penuh buat pertama kalinya. Jadi kami pun beritahu dia kalau puasa kenalah jaga solat. Jadi setiap kali selepas sahur dia tak tidur dan tunggu solat subuh.

“Dekat sekolah tadika dulu pun Aryan dah dilatih untuk solat Dhuha pagi-pagi selepas tiba di sekolah, jadi dia memang dah terbiasa dengan solat sejak kecil,” katanya lagi. Menurut Lina yang sudah sembilan tahun berumah tangga, dia berharap agar anaknya terus bersemangat dan konsisten untuk beribadah sehingga ke akhir hayatnya. Walaupun pemberian dianggap tidak seberapa, dia berharap semangat anaknya ini kekal dan menjadi contoh baik buat dua orang lagi adiknya. “Aryan selalu solat sendiri tapi kadang-kadang dengan daddy dia. Kalau balik rumah tok ma (nenek Aryan) ketika hujung minggu, dia akan solat dengan pakcik-pakcik dia.

“Waktu solat Subuh biasanya dia bangun sendiri. Kalau dia tak sempat nak solat asar di sekolah, anak saya akan cepat-cepat tunaikan di rumah sebelum masuk waktu Maghrib. “Dengan hadiah tak seberapa tu saya harap boleh memupuk semangat dia dan terus istiqamah menunaikan solat. Semestinya sebagai ibu saya nak yang terbaik untuk dia. Aryan anak first kami jadi harapnya dia boleh bimbing adik-adik,” ujar si ibu. Tidak menyangka perkongsiannya bakal meraih perhatian warganet, dia terharu apabila ramai yang mengalirkan air mata melihat reaksi anaknya.

Di kesempatan itu, Lina turut berkongsi tip bagaimana dia menggalakkan anaknya ini supaya rajin untuk menunaikan solat. “Saya memang selalu kongsi momen precious (berharga) keluarga kami. Tapi mungkin sebab reaksi Aryan tu pure from his heart sebab tu ramai terharu sampai menangis tengok. “Kami pun memang tak pernah paksa sebelum ni suruh dia solat. Kami suruh macam biasa tapi kalau dia tak nak pun tak apa. Cumanya, kami ada kongsikan betapa pentingnya menjaga solat. “Saya percaya yang kanak-kanak ni ikut apa yang kita ajar dan buat di rumah. Kids see, kids do,” ujar Lina.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.