Tak sangka Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke 35 catat rekod jumlah tontonan ini

Malam kemuncak acara mencetuskan fenomena, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 yang menyaksikan artis ‘senior’, Bell Ngasri dipilih Bintang Paling Popular, merekodkan 5.6 juta tontonan di TV3.

Acara berprestij bertemakan Ekspresi Legasi Seni yang disiarkan secara langsung TV3 dan strim ‘live’ Tonton dari Panggung Sari, Istana Budaya (IB) di sini, Jumaat lalu, turut merekodkan 2.9 bilion capaian di platform digital selama tujuh hari mulai 17 Julai lalu.

Mencatat satu lagi kejayaan, ABPBH 35 yang menghimpun calon Top 5, hos, penyampai trofi dan artis membuat persembahan dalam kalangan bintang legenda dan bakat baharu platform digital, merekodkan 439,634 tontonan ketika penstriman langsung dari segmen karpet merah hingga persembahan malam kemuncak di Tonton.

TV3 dalam kenyataan menyebut, semua data membabitkan tontonan dan capaian digital ABPBH 35 diperoleh daripada sumber Nielsen, Meltwater dan Tonton.

Selain trofi Bintang Paling Popular, Bell yang menjadi calon ‘favourite’ netizen sejak pusingan awal ABPBH 35, diumum pemenang kategori Artis Komedi Popular menewaskan Zizan Razak, Johan, Jaa Suzuran dan Syahmi Sazli.

Bagi kategori Bintang Paling Popular, Bell membawa pulang trofi, kotak eksklusif Fellera Skin X ABPBH 35 dan pakej umrah tajaan Fellera Skin. ABPBH 35 yang dikendalikan pengacara Johan dan Ain Edruce, diajaibkan penaja utama, Fellera Skin.

Pada malam kemuncak ABPBH 35, pemenang 12 kategori utama diumumkan iaitu BBNU Lelaki Popular dimenangi Amir Ahnaf; BBNU Wanita Popular (Anna Jobling); Penyanyi Lelaki Popular (Khai Bahar); Penyanyi Wanita Popular (Aina Abdul) dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular (Dolla).

Turut meraih trofi adalah Aktor Filem Popular dimenangi Beto Kusyairy; Aktres Filem Popular (Sophia Albarakbah); Aktor TV Popular (Meerqeen); Aktres TV Popular (Anna Jobling); Penyampai Radio Popular (Tyzo); Pengacara TV Popular (Elly Mazlein) dan Artis Komedi Popular (Bell Ngasri).

Turut diumumkan adalah pemenang tujuh kategori sampingan, Ekstra! iaitu Couple Drama Popular yang diraih Meerqeen dan Anna Jobling dalam drama Melur Untuk Firdaus; Couple Filem Popular (Datuk Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa dalam filem Dekatnya Cinta); Drama Popular (Melur Untuk Firdaus) dan Lagu Paling Boom (Terus Hidup/Aina Abdul).

Turut mencipta kejayaan Content Creator Popular dimenangi Alieff Irfan ; TikTokers Popular (Sally Whoo) dan dan Lawak Viral Popular (Syahmi Sazli, Asif dan Yoe Parey). ABPBH 35 turut menghadiahkan Anugerah Khas Ekspresi Legasi Seni ABPBH 35 kepada pelakon Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh dan Anugerah Eksplorasi Seni ABPBH 35 kepada penyanyi Malaysia mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna atau nama sebenar, Yunalis Mat Zara’ai.

Kredit Harian Metro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.

Ads by