Dasar Gaji Progresif akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk memperhalusi

Cadangan Dasar Gaji Progresif akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk memperhalusi mekanisme pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan memperuntukkan dana sebagai insentif berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan serta keperluan dasar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini sebagai satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji dapat dipertingkat dengan lebih konsisten dan pengagihannya lebih seimbang.

MTEN berpandangan Dasar Gaji Progresif merupakan antara reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan gaji yang bermaruah demi kesejahteraan rakyat serta mencapai agenda mengangkat ekonomi negara,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata model dasar itu diusulkan selepas MTEN mengambil kira pandangan serta kepentingan pihak majikan dan pekerja. Katanya dasar itu, yang bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti, merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum serta akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan dan peringkat.

Anwar berkata sesi libat urus dan tinjauan awal menunjukkan 62 peratus pekerja serta 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan itu dengan ciri yang dinyatakan dan MTEN berharap dasar tersebut akan menerima sambutan serta penyertaan sebanyak mungkin daripada syarikat dan pekerja.

Langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan terutama pemain industri, perniagaan serta pekerja,” katanya sambil menambah isu gaji merupakan perkara pokok yang tidak boleh diabaikan lagi.

Perdana Menteri juga berkata berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dibentangkan minggu lepas, lebih dua juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Beliau berkata situasi itu lebih membimbangkan buat golongan muda berumur lingkungan 20 hingga 24 tahun apabila gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 sebulan dan bagi kebanyakan pekerja, gaji hanya akan meningkat kepada RM3,500 pada paras tertinggi ketika berusia di antara 40 dan 49 tahun sepanjang kerjaya mereka.

Katanya pada masa sama, memandangkan peratusan pendapatan pekerja Malaysia telah menurun daripada 37.2 peratus pada 2020 kepada 32.4 peratus pada 2022, kerajaan menyasarkan nisbah ini meningkat kepada 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

Anwar berkata Gagasan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat merupakan wadah yang menetapkan hala tuju negara dalam tempoh sederhana terutama untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia. Kredit Harian Metro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.