USAHAWAN makanan terkenal, Dania Sedek menerima kritikan daripada segelintir warganet selepas dia memperkenalkan menu Thailand Omelette atau telur dadar pada harga RM13. Selain aplikasi TikTok, ramai warganet di laman Twitter turut kecoh membahaskan isu itu yang mana mereka menganggap harga tersebut agak keterlaluan dan tidak masuk akal. “Mungkin telur tu datang dari ayam yang dipelihara keturunannya. Ayam bangsawan jenis menetas dalam aircond, saya cuma husnuzon.
“Kalau sehari dapat jual 100 hidangan telur ni, dah dapat RM1,300. Kak, awak memberi inspirasi kepada saya untuk mulakan perniagaan telur dadar. Terima kasih. Hampir setiap hari aku masak telur macam ni. Tak tahu pula boleh letak harga macam ni,” tulis beberapa warganet secara sinis. Menjawab kritikan itu, Dania yang mengusahakan kedai berasaskan makanan Thailand di Ipoh, Perak berkata, harga tersebut sebenarnya bersesuaian dengan kepelbagaian bahan yang digunakan olehnya. “Sebelum letak harga RM13, saya dah survey. Bukan sekadar di Malaysia, malah di Thailand juga. Saya buat menu ini menggunakan tiga biji telur dengan bahan tambahan seperti Thai basil, bawang, taugeh dan sos prik nampla. RM13 pada saya masih berpatutan.
“Mereka kata kedai lain jual telur dadar RM2. Sekarang, rata-rata orang jual telur dadar RM4 ke RM5. Seketul dalam pinggan, guna sebiji telur dengan Ajinomoto saja. Telur dadar di kedai saya dibuat dengan pelbagai bahan. Paling penting, semua bahan fresh,” ujarnya. Menurut Dania yang popular dengan menu tom yam dan daging harimau menangis, dia tidak berkecil hati, sebaliknya menganggap kecaman itu sebagai lumrah biasa yang perlu dilaluinya dalam dunia perniagaan.
“Perkara ini biasa pada saya. Saya tak kecil hati. Saya juga tak salahkan mereka yang komen. Ada yang komen buruk, doa bukan-bukan, label saya sebagai kapitalis dan Yahudi. Saya tak marah. Mereka tak tahu apa yang saya lalui. “Dulu orang kritik, saya cuba buat penjelasan dengan niat baik untuk orang tahu. Tapi orang anggap saya tak boleh terima teguran. Hari ini, kita ambil pendekatan menerima saranan. Contohnya semalam viral telur dadar, terus kita upgrade letak udang. “Bila buat macam ni, orang cakap saya takut pula sebab isu telur dadar RM13 dah viral di Twitter. Jadi terbukti di sini yang orang tak akan pernah berpuas hati. Saya hanya mampu berlapang dada dan abaikan. Saya ada misi lebih penting untuk majukan perniagaan,” ujar Dania lagi.
Di sebalik isu tular itu, Dania yang kini mempunyai 30 pekerja mengakui bersyukur apabila perniagannya di tapak pasar malam Ipoh itu masih menerima sambutan luar biasa sejak ia beroperasi pada 3 November 2021. “Pelanggan yang beratur panjang masih konsisten sehingga sekarang. Lepas pertama kali viral di TikTok, saya letak keazaman tinggi untuk buat dengan lebih baik. Ia terbukti apabila repeat customer sangat ramai. Saya percaya, selepas viral, orang akan terus datang kalau kita konsisten bagi yang terbaik.
“Terima kasih kepada yang menyokong sejak dulu hingga sekarang. Ribuan terima kasih atas doa yang baik-baik. Tak lama lagi, kami juga akan membuka sebuah restoran,” ujar Dania lagi. Untuk rekod, Dania yang mempunyai hampir 400,000 pengikut di aplikasi TikTok sering berkongsi video perjalanan perniagaannya, termasuk menu-menu yang ditawarkan di kedainya. Malah, video memaparkan orang ramai yang beratur panjang di kedainya turut tular di TikTok, sehingga berjaya menarik kehadiran ramai pelanggan dari luar Perak.
Sumber: MStar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.