Dalam kita semua menyanjung jasa pahlawan yang terkorban dalam pertempuran mempertahankan kedaulatan negara ini, jangan sekali kita lupa ahli keluarga dan insan terdekat mereka,” pesan Datuk Abdul Rashid Harun. Abdul Rashid yang juga bekas Pesuruhjaya Polis Sabah antara ‘orang kuat’ terbabit dalam tragedi berdarah pencerobohan Lahad Datu pada 2013.
Beliau berkata, mungkin ada dalam kalangan ahli keluarga pahlawan terkorban itu yang memerlukan bantuan dan keprihatinan semua pihak. Selain menyanjung jasa pahlawan, kita perlu ambil kira individu rapat dengan mereka seperti ibu bapa, isteri, anak-anak, adik-beradik, saudara mara serta rakan terdekat.
Lihat bagaimana hidup mereka dan sekiranya mereka memerlukan bantuan, hulurkanlah sumbangan. Jika kita tidak mampu memberikan sumbangan, cukuplah sekadar kita melawat mereka bagi mengubat rasa rindu,” katanya ketika dihubungi.
Abdul Rashid yang memegang jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA)-Pasukan Gerakan Khas, Bukit Aman ketika Op Daulat mengimbau insiden terbabit berkata, beliau sedih dengan pemergian beberapa pegawai dan anggota terkorban dalam insiden terbabit.
Namun, saya kena sabar dan telan kesedihan memandangkan banyak kerja perlu dilakukan ketika itu. Sebagai ketua, saya tidak boleh nak tunjuk perasaan sedih kepada anggota bawahan untuk mengelak mereka berasa kurang yakin pada saya dan kena sentiasa steady dalam menghadapi situasi berkenaan,” katanya.
Pada pandangan beliau, jika tidak berlaku pertempuran dalam mana-mana insiden adalah lebih baik kerana ia membabitkan nyawa pegawai dan anggota bertugas. Walaupun kita dilatih dengan pengendalian senjata dan segala taktikal namun saya lebih memilih tidak bertempur kerana ia membabitkan nyawa.
Dalam setiap operasi disertai, kita tidak boleh jamin siapa akan terkorban, bagaimana berlaku dan sebagainya meskipun setiap anggota komando itu tahu risiko dihadapi mereka termasuk kemungkinan cedera atau terkorban,” katanya.
Menceritakan mengenai antara detik dilalui dalam operasi berkenaan, bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) yang pertama itu berkata, beliau berpeluang membuat tinjauan di kawasan penempatan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Bukan menjadi satu kelaziman bagi pegawai tinggi masuk ke kawasan musuh. Namun selepas perbincangan dilakukan, saya setuju untuk jawatan dikecilkan dengan diperkenalkan diri sebagai Sarjan Mejar Rashid.
Kerja saya masuk ke penempatan itu buat pemerhatian selain bawa beras. Saya juga bawa rokok untuk digunakan bagi mengira jumlah musuh. Pada Februari 2013, Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu. Ia membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo mengakibatkan 10 perwira negara terbunuh, selain kematian 68 pengganas Sulu. Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.
Kredit Harian Metro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.