Gejala antara lima ke 21 hari, terkini KKM sahkan 2 kes positif cacar monyet di Malaysia

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dua kes positif cacar monyet (mpox) dikesan di negara ini. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kes pertama disahkan pada 26 Julai lalu membabitkan seorang lelaki warga asing yang menetap dan bekerja di Malaysia sejak April 2022. Beliau berkata individu itu mempunyai sejarah perjalanan ke negara yang melaporkan kes mpox pada 6 Julai 2023 dan kembali semula ke Malaysia pada 10 Julai 2023. “Dia mula menunjukkan gejala pada 19 Julai, dan lepuh mula muncul pada 23 Julai. Dia menjalani isolasi dan dibebaskan pada 10 Ogos, selepas pulih sepenuhnya tanpa komplikasi,” kata Dr Muhammad Radzi dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kes kedua, seorang lelaki tempatan, mengalami gejala semasa dalam kuarantin kerana dia merupakan kontak kepada kes positif mpox. Dr Muhammad berkata lelaki itu diarah menjalani kuarantin pada 27 Julai, dan disahkan positif cacar monyet pada 29 Julai. Pesakit kedua masih dalam keadaan sihat ketika diasingkan, tambahnya. “Semua kontak bagi kes pertama telah dikenal pasti dan status kesihatan mereka dipantau. “Tiada yang mengalami gejala jangkitan mpox kecuali kes kedua seperti dinyatakan di atas. Kes kedua tidak mempunyai sebarang kontak rapat,” katanya. Tempoh inkubasi sebelum seseorang individu mula menunjukkan gejala cacar monyet adalah antara lima hingga 21 hari dari tarikh pendedahan.

Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh kering sepenuhnya. Semua pengembara yang tiba dari negara yang dilaporkan mengalami cacar monyet dinasihatkan untuk memantau kesihatan mereka setiap hari termasuk gejala jangkitan selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia. Antara gejalanya adalah demam, keletihan, sakit kepala dan ruam makulapapular yang bermula pada muka, merebak ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian badan yang lain.

Pesakit juga mungkin mengalami keletihan, sakit di bahagian atau sendi, kekejangan otot dan bengkak kelenjar limfa. Pengamal perubatan diminta peka terhadap individu yang mengalami simptom lepuh yang sedang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi. Pada masa ini, terdapat 10 makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan cacar monyet. Pejabat kesihatan terdekat perlu dimaklumkan mengenai kes yang disyaki melalui sistem e-notifikasi bagi membolehkan siasatan lanjut dan langkah kawalan dijalankan oleh pejabat kesihatan daerah.

Sumber: MStar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.