Bantu ikut kemampuan diri, Abang Viva dedah segala kos dalam misi menyelamat ditanggung sendiri

MENJELANG hujung tahun, penduduk di kawasan yang berisiko banjir tentunya perlu bersiap siaga untuk berdepan bencana itu. Meskipun September belum melabuhkan tirainya, aktivis banjir terkenal, Azwan Omar atau Abang Viva telah menyatakan kesediannya untuk membantu sekiranya khidmatnya diperlukan. Namun kata Azwan, dia akan membantu mengikut kemampuan diri dan kewangannya sahaja memandangkan segala kos dalam misi menyelamat solo itu ditanggung olehnya sendiri.

“Dalam tahun 2023 ni, tak semestinya ada banjir saya akan terus gerak. Bergantung pada situasi juga. Kalau banjir kilat, lokasinya jauh, saya tak pergi. Kalau teruk, baru saya pergi. Saya pun dah dapat info, mungkin Oktober sampai Disember ada banjir. Nak kata standby tu tak juga. Tapi saya akan bawa apa yang saya ada. Tapi kadang kala tertekan juga. “Kalau saya tak turun (lokasi banjir) jadi isu. Kalau saya turun pun jadi isu, orang cakap saya nak ambil nama (raih populariti). Jadi sekarang, kalau nak turun, saya turun saja,” ujarnya.

Azwan yang ditemani isterinya, Evanoza Zakaria ditemui ketika pelancaran program mStar Baek dan sambutan ulang tahun ke-18 mStar di Menara Star, Petaling Jaya pada Selasa. Tahun lalu, Azwan menerima sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) atas jasa baik serta usaha kerasnya yang sering membantu mangsa banjir di negara ini. Kata Azwan, hadiah yang diterima serta populariti yang diraih turut memberikan tekanan buatnya, malah namanya sering ‘diseru’ setiap kali berlakunya banjir di seluruh negara.

“Orang anggap, apa yang saya dapat, dengan nama saya, dengan saya dapat kereta (4 X 4) tu, kalau banjir saya wajib turun. Itu mindset orang. Tapi bukannya saya dapat elaun setiap kali saya turun. “Semua kewangan sendiri. Nak pergi tu jauh. Saya kena fikir, saya dah kahwin, ada keluarga yang nak dijaga. Kalau mencukupi, ada lebih baru saya pergi,” ujarnya lagi. Dalam pada itu, Azwan berkata dia tidak menyesali populariti yang diraih meskipun komen-komen negatif daripada segelintir warganet pernah melukakan hatinya. “Nak kata menyesal jadi famous tu tidaklah. Ini dah tertulis Allah bagi orang kenal saya. Tipu la kalau saya tak ada kecil hati. Kadang terasa juga (baca komen warganet).

“Tapi lama-lama isteri minta abaikan saja komen tu. Tak payah baca. Saya pun dah kurang buat live. Bila keluar apa-apa isu, saya baca apa yang ditulis (artikel) tapi saya tak baca komen,” ujarnya lagi. Azwan juga berkata dia lebih selesa untuk meneruskan misi bantuan banjir secara solo meskipun ada individu yang mahu mengikutinya bersama. “Saya lebih suka gerak solo. Ada yang nak ikut, tapi saya nak gerak seorang diri. Contohnya kalau ada ramai ikut, ia tentunya susah untuk saya susun (bantuan).

“Kalau sendirian, mana saya nak pergi, saya boleh pergi. Kalau berkumpulan, saya kena pantau, jadi susah sikit,” ujarnya lagi. Untuk rekod, lima daerah di Kedah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang, Kuala Muda dan Pokok Sena dilanda banjir ekoran hujan lebat sejak kelmarin. Penduduk yang terlibat dengan banjir terus meningkat yang mana seramai 341 mangsa ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri setakat pukul 12 tengah hari Rabu.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.