Terpaksa potong bulu kucing, individu dedah ada pelajar yang cat bulu kucing dengan warna ungu

SEEKOR kucing tular di media sosial selepas ia dijumpai dalam keadaan kotor akibat dicat dengan pewarna rambut manusia. Kucing itu kini menerima rawatan di sebuah klinik haiwan di Gombak, Selangor selepas ia diselamatkan seorang penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Adam Hasrol, 23, pada pagi Selasa. “Saya dimaklumkan tentang kucing ini oleh seorang kawan, namanya Siti Khadijah. Kemudian saya tengok posting itu, ada seekor kucing yang dicat dengan warna ungu. Saya tengok pun agak marah.

“Kucing itu dijumpai di kolej residen saya di UIAM. Semalam saya ada di rumah di Rawang. Jadi pagi ini saya terus pergi ke kampus untuk cari kucing berkenaan. Puas saya cari, akhirnya jumpa kucing tu di tempat letak kereta. “Masa jumpa, kucing tu chill je. Tapi saya geram sebab badannya dicat. Pelaku siap lukis emoji smiley, simbol pangkah (X) dan buat anak panah atas kepalanya seperti watak kartun Avatar. Jadi, saya terus bawa kucing itu ke klinik,” ujarnya kepada. Menurut Adam, rawatan kucing itu menelan belanja sebanyak RM300, namun kos tersebut dilunaskan dengan hasil sumbangan orang ramai selepas kes berkenaan tular di media sosial.

“Kos total dalam RM300. Kucing tu kena potong bulu, buat lion cut. Lidahnya jadi warna purple sebab dia jilat bulu. Disyaki warna purple tu bukan cat biasa, tapi pewarna rambut. “Alhamdulillah ramai beri sokongan. Ada ramai yang menderma. Sekarang kucing itu masih berada di klinik, perlu ditinggalkan untuk pengawasan lagi,” ujar pelajar bidang kejuruteraan mekanikal itu. Dalam temu bual sama, Adam turut menitipkan pesan kepada pelaku agar menghentikan kekejaman ke atas haiwan yang disifatkan tidak sewajarnya, apatah lagi di dalam kawasan kampus.

“Saya selalu tengok kucing tu sebelum ini. Selalu juga bagi wetfood. Ibaratnya tu kucing semua orang. Tapi satu pesanan saya kepada pelaku, saya harap dia salurkan kreativiti ke tempat lain. “Jangan curahkan kreativiti ke atas haiwan. Harap dia (pelaku) faham dan rasa bersalah, jangan buat lagi. Kalau dapat, habislah kamu,” ujar Adam lagi. Pada Isnin, pemilik Twitter @twttaca berkongsi beberapa foto dan video, memaparkan keadaan kucing berkenaan yang dicat dengan warna ungu.

Ciapan yang tular itu turut dihujani komen orang ramai yang menyelar tindakan pelaku dan mereka turut menzahirkan rasa simpati dengan nasib kucing berkenaan. “Kesiannya. Siapa yang jahat sangat buat kucing macam ni?”Allah, kesiannya. Apa ni buat aku nangis pagi-pagi? Teringat anak bulus kat rumah. “Sumpah tak lawak ya buat macam ni. Ada akal tak guna ke?” tulis beberapa warganet.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.