Satu pentas dengan penyanyi terbaik Asia Pasifik, Aina Abdul luah rasa syukur bila dapat harumkan nama Malaysia di Korea Selatan

Penyanyi dan komposer Aina Abdul meluahkan rasa syukur apabila dipilih mewakili negara sekaligus mengharumkan nama Malaysia untuk beraksi di pentas global ‘ABU TV Song Festival 2023’ anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) yang berlangsung di Korea Selatan, baru-baru ini. Persembahan magis Aina menerusi lagu hit ciptaannya berjudul Terus Hidup berjaya memukau hampir 2,000 penonton pada acara tersebut. Mengulas lanjut mengenai persembahan di pentas gah ‘ABU TV Song Festival 2023’, Aina berkata dia menyifatkan peluang yang diberikan kepadanya itu sebagai satu pengalaman terbaik dalam kerjaya seninya.

“Diberi peluang keemasan mewakili Malaysia untuk beraksi di pentas antarabangsa merupakan satu penghormatan yang cukup istimewa buat saya.  Ia bukan sahaja memberi dimensi positif kepada kerjaya seni saya, bahkan boleh disifatkan antara salah satu pengalaman terbaik yang pernah saya kecapi sebagai penyanyi. Seperti yang kita tahu, industri K-Pop mempunyai reputasi global dan digilai oleh peminat seluruh dunia. Manakala KBS pula merupakan antara platform utama yang menjadi lubuk kelahiran artis-artis ternama K-Pop. 

Mengetahui bahawa program ini turut disiarkan di saluran KBS dan persembahan saya akan ditonton oleh jutaan rakyat Korea Selatan khususnya, saya tidak dapat menggambarkan betapa bermaknanya peluang yang diberikan tersebut. Walaupun hanya menyanyikan sebuah lagu sahaja, saya bangga dapat membawa nama dan budaya Malaysia tercinta di pesada dunia. ” Selain Aina, penganjuran festival nyanyian berprestij edisi ke-12 yang dihoskan oleh stesen televisyen nasional Sistem Penyiaran Korea (KBS) itu menyaksikan pembabitan seramai 11 penyanyi tersohor dari 11 negara dalam menjayakan acara penuh gemilang itu.

Dalam pada itu, pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani, 30, berharap penampilannya di acara sebesar itu secara tidak langsung dapat membuka peluangnya untuk lebih dikenali di Korea Selatan. “Dalam masa yang sama, kesempatan beraksi di festival tersebut turut melengkapi hasrat saya untuk menghiburkan peminat di luar negara. Saya cukup terharu apabila mengetahui ada di antara mereka yang tinggal di luar daerah Seoul sanggup ‘travel’ jauh semata-mata ingin menonton persembahan saya secara ‘live’.

Saya juga rasa cukup bertuah kerana bukan sahaja dapat berkongsi pentas dengan penyanyi-penyanyi handalan dari rantau Asia-Pasifik, malah dapat mengutip pengalaman bekerja dengan krew produksi televisyen antarabangsa yang cukup berdedikasi dan profesional. Saya berharap persembahan itu dapat mempersonakan kesemua audiens yang menonton termasuk di dewan dan di rumah. Manalah tahu, mungkin selepas menonton program tersebut, nama saya di Korea Selatan semakin diingati, peminat semakin bertambah dan mereka mula mengikuti evolusi muzik Aina Abdul.

Besar harapan saya agar selepas ini akan menerima lebih banyak undangan untuk kembali beraksi di sini, mungkin untuk projek kolaborasi yang lebih istimewa, insya-Allah. Terima kasih, Korea untuk pengalaman yang tidak dapat dilupakan ini.” Dalam perkembangan terkini , Aina baru sahaja melancarkan album sulung berjudul Imaji secara digital yang dilihat sebagai pelengkap kerjaya muziknya. Album tersebut memuatkan 14 buah trek istimewa hasil nukilan dan ciptaan sepenuhnya.

Selain itu, Aina juga bakal mengadakan konsert solo berskala besar ‘A Night With Aina Abdul’ 3.0 anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Aina Abdul Entertainment (AAE) yang akan bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil pada 18 November ini. Sumber: OhBulan. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.