ALLAHYARHAMÂ penyanyi Bad Indigo sudah menderita penyakit jantung selain diabetes sejak 10 tahun lalu. Penyanyi Liza Hanim berkata, dia juga pernah melihat sendiri arwah terkena serangan jantung ketika bertemu dengannya sebelum ini. “Kami sudah berkawan sejak 23 tahun lalu dan Bad memang ada masalah jantung. “Sebelum ini juga dia pernah kena serangan jantung dan rebah di depan mata saya dan suami di pejabatnya. “Sudah lebih 10 thun dia sudah ada masalah jantung,” katanya.
Liza atau Haliza Hanim Abdul Halim, 43, berkongsi perkara itu ketika ditemui di Masjid Tun Abdul Aziz Seksyen 14, Petaling Jaya pada Jumaat. Kira-kira pukul 7 petang Khamis, Bad atau Badrul Izhan Yeop Abdullah, 48, meninggal dunia di tempat kerjanya di Ampang. Allahyarham dikatakan mengalami hipoglisemia atau kekurangan gula dalam drh selain rebah akibat sesak nafas sebelum pulang ke rumah selepas waktu kerjanya tamat. Jenazah Bad dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara selepas solat Jumaat.
Dalam pada itu, Liza berkata, sebagai rakan terdekat dia ralat apabila kumpulan Indigo baharu sahaja merakamkan single terbaharu mereka yang hanya menanti masa sesuai untuk dilancarkan. Imbau Liza, Allahyarham teruja semasa merakamkan lagu berkenaan kerana sudah lama tidak bersama ahli kumpulan Indigo. “Sebenarnya lagu baharu mereka sudah siap malah arwah sangat teruja dan paling semangat ketika rakaman diadakan. Tengok keseronokan mereka saya dapat memahami keterujaan itu tambahan pula Indigo sudah lama tak keluar lagu baru,” ujarnya.
Untuk rekod, Bad bersama Indigo memulakan kerjaya seni mereka sekitar tahun 1996 dan kumpulan ini popular menerusi lagu-lagu seperti Kenang Dirimu serta Masih Seperti Dulu. Kumpulan ini juga pernah menyertai program nyanyian Gegar Vaganza musim ketujuh. Pada Januari 2021, Bad terpaksa menjalani operasi secara berperingkat memotong jari kaki kirinya yang mengalami luka akibat diabetes di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Biarpun pergerakannya terbatas, Bad sedaya upaya cuba menguruskan diri sendiri tanpa mahu menyusahkan orang lain.
Selain aktif menyanyi Bad juga mempunyai pekerjaan tetap sebagai pembantu jualan dan pemasaran di Reiber Auto yang terletak di Bukit Permai, Ampang, Selangor. Bad juga merupakan salah seorang selebriti terlibat dalam program mStar Baek dan rakaman episod mengenai kesengsaraan hidupnya baru sahaja ditayangkan pada Khamis iaitu berberapa jam sebelum penyanyi itu pergi menghadap illahi. Untuk rekod, selepas berpisah dengan isteri pertama, Bad bertemu jodoh dengan penyanyi Ashira pada 11 Mac 2021 namun berpisah pada Jun 2022. Bad mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan pertama iaitu Rayyan, 14 dan Rania, 12 tahun.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.