Pelakon Aedy Ashraf tidak mahu golongan remaja mencontohi tindakannya yang berhenti sekolah ketika tingkatan empat sekali gus tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Menurut Harian Metro, sebelum ini pelakon berusia 30 tahun tersebut mendedahkan bahawa dia terpaksa berhenti sekolah kerana keadaan ketika itu tidak mengizinkan. “Apa yang saya dedahkan baru-baru ini bukanlah bertujuan untuk mengajak golongan muda mencontohi apa yang sudah saya lakukan ketika berusia 16 tahun dulu apabila memilih berhenti sekolah dan tak ambil SPM.
“Bagi saya, menuntut ilmu sangat penting dalam hidup kita dan proses ini tidak akan pernah berakhir. Cuma situasi saya tidak bertuah pada ketika itu kerana perlu bekerja bagi menyara keluarga. Kalau saya ada peluang belajar sebagaimana orang lain dengan kemampuan kewangan yang cukup, saya akan terus belajar menimba ilmu hingga ke tahap tertinggi yang saya boleh pergi sebab pendidikan itu penting,” katanya. Aedy berkata demikian pada majlis pratonton filem aksi pertamanya, War on Terror: KL Anarki arahan Kroll Azry dan Frank See di LaLaport Bukit Bintang City Centre, semalam.
Pelakon filem Tebus itu berkata, dia sangat menggalakkan remaja yang masih bersekolah untuk terus belajar sehingga ke peringkat lebih tinggi. “Kepada remaja yang masih bersekolah, saya galakkan agar adik-adik menghabiskan persekolahan itu dan sekiranya ada rezeki ke universiti, teruskan kerana ilmu sangat berguna dalam kehidupan. Jangan mencontohi apa yang saya pernah lakukan,” ujarnya. Tambahnya, walaupun pelakon tersebut tidak habis sekolah dan ambil SPM, dia seorang yang suka membaca buku-buku kemahiran.
Bagaimanapun, Aedy berkongsi bahawa dia gemar membaca buku-buku kemahiran selain belajar sendiri secara dalam talian kerana sedar menuntut ilmu penting dan tidak pernah berakhir. Malah, dia mengambil masa yang lama untuk mendedahkan dia berhenti sekolah dan tidak mengambil SPM kerana tidak mahu menjadi ikutan remaja masa kini. “Selama 13 tahun, saya simpan perkara ini tanpa mendedahkannya. Jadi, daripada pendedahan saya itu harapnya adik-adik jadikanlah iktibar agar mengutamakan pelajaran jika keluarga berkemampuan. Jangan sia-siakan peluang yang ada itu,” kongsinya.
Sekadar info, Aedy mendedahkan perkara tersebut dalam satu program Studio Sembang yang dikendalikan pelakon dan juga kekasihnya, Amelia Henderson baru-baru ini.Selain Aedy, War on Terror: KL Anarki turut dibintangi Farali Khan, Adlin Aman Ramlie, Qi Razali, Daiyan Trisha, Noki K-Clique, Naque Ariffin, Wan Hanafi Su, Kahoe Hon dan Daniel Ga. Sumber: Omm.