PEMENANG Hero Remaja 2023 Aiman Ameer tidak akan tunduk dengan suara-suara halus cuba mematahkan semangatnya apabila dianggap tidak sesuai bergelar artis disebabkan ketinggiannya. Pemilik nama sebenar Che Aiman Ameer Che Kamarudin, 23, berkata, walaupun ketinggiannya hanya 170 sentimeter dia tidak melihat perkara itu sebagai kelemahan demi mencapai cita-cita sebagai seorang pelakon. Jelas Ameer, meskipun pernah dipersendakan namun menganggap ia sebagai satu cabaran sebelum mengecap kemanisan kejayaan dalam karier seni.
“Persepsi (kurang ketinggian) banyak kali saya hadap. Sejujurnya kalau satu ketika dulu mungkin saya akan terasa tapi bila fikir balik, ada sahaja pelakon terkenal seperti Tom Cruise dan Jackie Chan yang pendek. Saya yakin tiada yang mustahil… Mungkin orang persenda saya sebab cemburu. Kurang tinggi bukan penghalang,” katanya. Ameer berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas pertandingan akhir Hero Dewi Remaja 2023 yang berlangsung di CIDB Convention Center, Cheras, Kuala Lumpur pada malam Jumaat.
Dalam masa sama, anak kelahiran Johor itu juga tidak pernah rasa menyesal apabila melepaskan kerjayanya sebagai pramugara semata-mata untuk menyertai program realiti itu. Malah katanya usaha melakukan persiapan selama tujuh bulan membuahkan hasil apabila berjaya memenangi gelaran Hero Remaja 2023 menewaskan tujuh peserta lelaki yang lain. “Sejujurnya masa saya nak kerja sebagai pramugara, mak saya tanya kenapa saya pergi temuduga itu. Sebab kembar saya boleh pula pergi, tapi saya tidak boleh. Mak saya pun jawab, dia rasakan yang saya ini boleh pergi jauh dalam industri. Jadi, sepanjang kerja itu saya asyik terfikir. Enam bulan selepas itu saya berhenti.
“Alhamdulillah saya buat pilihan untuk menyertai Hero Remaja dan hari ini betul-betul dapat rasa makna (pengorbanan) itu. Usaha tidak akan mengkhianati hasil,” ujarnya. Ameer juga berjanji untuk mengharungi segala rintangan meskipun sukar semata-mata untuk mengejar impiannya itu. Jelasnya, dia juga akan memasuki lebih banyak kelas lakonan bagi mengasah bakatnya itu. “Saya mahu jadi pelakon terbaik sebab saya nak fokus dekat dunia lakonan. Saya nak asah dunia lakonan saya dengan lebih baik supaya orang tahu inilah (kualiti) juara,” katanya.
Untuk rekod, malam kemuncak pencarian Hero Dewi Remaja 2023 berkahir dengan memperlihatkan Ameer dan Nurel dipilih sebagai pemenang. Ameer dan Nurel atau Nurelyana Baharin, 21, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 beserta trofi dan selempang. Sementara itu, tempat kedua menjadi milik Fitri dan Arabella yang membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 beserta trofi.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.