Tiada keserasian dan keikhlasan, Ajai akui tak akan kongsi pentas dengan bekas isteri sebab ni

HARAPAN peminat untuk melihat gandingan semula Ajai dan bekas isterinya iaitu Nourul Wahab di atas pentas mendendangkan lagu-lagu duet popular mereka tidak akan berlaku. Ajai atau Mohd Faizal Maas, 49, berkata, dia tidak melihat ada lagi keserasian dan keikhlasan di antara mereka kerana perkara itu elemen penting dalam sesuatu persembahan. Menurut Ajai, dia tidak mampu memaksa kerana perasaan berkenaan perlu wujud secara semula jadi. “Bukannya saya tidak profesional tetapi apabila bekerja sebagai penyanyi kita perlu keserasian dan keikhlasan.

“Sejujurnya saya sudah tiada ada rasa itu lagi dan tidak mahu paksa perasaan itu,” katanya. Ajai berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran konsert By Ajai and Mega Friends yang diadakan pada Rabu. Komposer terkenal itu menjawab pertanyaan nama Nourul tidak tersenarai dalam konsert tersebut memandangkan mereka mempunyai banyak lagu duet bersama sebelum ini. Ajai turut menjelaskan ketiadaan Nourul bukan bererti hubungan mereka bermasalah sebaliknya masih kekal baik demi anak perempuan mereka iaitu Ayu Nazirah.

Bagaimanapun akui Ajai, komunikasi di antara mereka semakin berkurangan memandangkan Ayu sudah dewasa. “Hubungan kami baik dan tiada sebarang masalah, cumanya komunikasi itu semakin berkurangan apatah lagi anak kami pun sudah dewasa,” katanya. Untuk rekod, Ajai dan Nourul permah mendirikan rumah tangga pada 1996 dan kemudian bercerai pada tahun 2006. Dalam pada itu, Ajai memaklumkan sedang merancang untuk merakamkan semula lagu-lagu popular bersama Nourul dengan nafas baharu.

Kata Ajai, dia sudah mempunyai beberapa nama untuk projek tersebut termasuk Elly Mazlein. “Saya rancang rakam semula lagu-lagu popular bersama Nourul dengan penyanyi wanita lain seperti Elly Mazlein. Tidak hanya itu projek bersama Aina Abdul dan Aufahanie sebelum ini juga adalah permulaan untuk saya tampil dengan lebih banyak projek bersama artis-artis lain,” katanya. Sebelum ini, Aufahanie merakamkan semula lagu ciptaan Ajai yang dipopularkan oleh Allahyarham Siti Sarah iaitu Saat Hilang Cintamu.

Manakala Ajai baharu sahaja melancarkan single bersama Aina menerusi lagu Hati Ini Telah Dilukai yang pernah dirakamkan dengan penyanyi Indonesia Krisdayanti. Bercakap mengenai konsert berkenaan, Ajai memberitahu ia akan menampilkan barisan penyanyi hebat seperti Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hafiz Suip, Hazam dan Aufa Hanie. Kata Ajai, selain persembahan solo, dia juga akan tampil berduet dengan semua penyanyi jemputan menerusi lagu-lagu ciptaannya.

“Pada konsert ini nanti Insya-Allah kita akan mempersembahkan lebih 20 buah lagu ciptaan saya sepanjang terlibat dalam industri seni. Saya juga akan berduet dengan semua penyanyi jemputan pada malam itu nanti,” katanya. By Ajai and Mega Friends bakal berlangsung pada 3 Ogos 2024 di MegaStar Arena Kuala Lumpur. Sebanyak enam jenis tiket dijual iaitu Serasi Bersama (RM197), Aduh (RM257) dan Kesetiaan (RM287) untuk level dua.

Manakala level satu, Mega Fans Standing (RM187), Mega VIP (RM577) dan Super Mega VIP (RM777). Semua tiket sudah pun mula dijual sejak 6 Mac di laman web Ticket2u. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.