Sekarang lebih terkenal sebagai penjual karpet, Dazrin Kamarudin akui belum terfikir untuk bersara dari dunia seni

LAMA tidak muncul dalam drama atau filem, pelakon Dazrin Kamarudin akur jika namanya semakin dilupakan peminat. Dazrin, 36, malah memberitahu generasi baharu juga tidak sedar akan kewujudannya dalam industri seni dan lebih dikenali sebagai penjual karpet. Bagaimanapun itu tidak membuatkan dia terfikir untuk bersara walaupun ketika ini sibuk menguruskan perniagaan. “Saya tidak pernah bersara cuma sekarang aktiviti dalam bidang seni agak perlahan. Dalam tempoh dua tahun ini memang saya fokus kepada perniagaan.

Saya tahu orang akan lupakan saya. Generasi sekarang kalau berjumpa pun mereka tidak tahu saya seorang pelakon sedangkan sudah terlibat dalam puluhan drama. Rasanya saya kena ‘keras’ sikit memperkenalkan nama kepada produser baru sebab sebelum ini biasa bekerja dengan produksi sama,” katanya. Dazrin berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran gudang Al Aqsa Carpet miliknya di Shah Alam pada Ahad lalu. Dalam pada itu, Dazrin memberitahu kali terakhir dia terlibat dalam sebarang projek lakonan sekitar dua tahun lalu.

Baginya sebagai pelakon berpengalaman, populariti bukan lagi sasaran utamanya dalam memilih sesebuah karya. Justeru Dazrin lebih terbuka untuk bekerja sekiranya diberi tawaran untuk sebuah drama atau filem yang boleh memberi impak kepada penonton. “Tawaran masih ada namun buat masa sekarang saya terpaksa tolak. Ada juga watak ditulis untuk saya tetapi tidak boleh terima dan itu membuatkan saya rasa bersalah. Sekarang ini kalau ada watak hero yang memerlukan komitmen tinggi tetapi dapat memberi impak saya akan terima.

Tidak kisahlah kalau bukan watak utama pun namun skrip yang baik saya tak tolak. Mungkin dalam masa terdekat saya akan kembali berlakon,” ujarnya. Bercakap mengenai perniagaan diusahakan sejak lapan tahun lalu, Dazrin mahu memberi pengalaman gaya hidup mewah menerusi koleksi pelbagai jenis permaidani dengan harga berpatutan. Dia juga membuka peluang kepada mana-mana pihak untuk melakukan infaqa bagi pemasangan karpet di masjid atau surau.

“Setakat ini rasanya syarikat saya sudah melakukan infaq untuk lebih 2,000 masjid di seluruh Malaysia. Ada mana-mana masjid yang mungkin tak cukup dana kami akan tampung selebihnya. Ada juga pihak lain yang mahu infaq pemasangan karpet di masjid. Jadi syarikat kami sediakan kerjasaman bagi tujuan tersebut,” jelasnya. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.