Ramai yang sangka Diana Danielle hamil anak ketiga, sekali ini pengakuan dari tuan badan

PENAT kerap disangka sedang hamil anak ketiga, pelakon dan penyanyi Diana Danielle menjelaskan dia tidak merancang menambah bilangan cahaya mata. Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 33, berkata, dia kini selesa dengan kehidupan apatah lagi dua anaknya sudah mampu menguruskan diri mereka. “Saya mula berkerja sepenuh masa ketika remaja dan memiliki anak pada usia 20-an. Ketika ini anak-anak saya sudah besar dan kerjaya saya juga stabil.

“Saya tahu saya pentingkan diri dengan mengatakan ini tapi insya-Allah saya betul-betul tidak mahu tambah anak. Bukan sebab saya tak menghargai mempunyai anak tapi pada usia sekarang saya tidak mahu lagi menjadi ibu,” katanya. Diana berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di TikTok miliknya pada pagi Rabu. Menurut Diana, dia tidak mahu kembali melakukan rutin harian menjaga anak kecil malah meminta orang ramai menghormati pilihan peribadinya.

Dia bagaimanapun tetap menyokong mana-mana ibu bapa yang mahu memiliki bilangan anak ramai bagi menyerikan keluarga mereka. “Saya masih seorang ibu tapi anak-anak saya sudah sampai usia mereka bersekolah. Saya boleh menguruskan hal saya dan bertemu dengan mereka selepas sekolah. Kenapa saya nak kembali semula menukar lampin dan menyusukan anak? Seperti tak tidur semua itu? Tapi saya rasa itu adalah pilihan peribadi saya. Jika orang mahu menambah lebih ramai anak saya sokong semua itu cuma bukan untuk saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Diana memberitahu berat badannya bertambah sebanyak 15 kilogram disebabkan mempunyai pembantu rumah yang pandai memasak. Namun dia tidak kisah dengan penambahan berat badannya itu malah tidak pernah malu dengan penampilan dirinya meskipun ada pihak kurang senang dengan perkara itu. “Jangan buat sebarang spekulasi seolah-olah saya hamil walaupun berat badan saya bertambah 15 kilogram. Saya tahu itu berat kehamilan saya tapi sebenarnya saya ada pembantu yang sangat pandai memasak.

Saya tak pernah ada pembantu pandai memasak dan selera saya terkejut. Setiap kali balik ke rumah sentiasa ada makanan sedap.Saya tak sedar berat badan saya bertambah walaupun seluar dan baju saya sudah tidak muat lagi dan buatkan saya terlihat seperti bloddy papaya,” ujarnya. Dalam kesempatan itu, Diana juga memaklumkan dia terpaksa menurunkan berat badannya dalam kadar segera kerana terikat dengan beberapa kontrak drama. Untuk rekod, Diana mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan pengarah Farid Kamil pada 3 November 2012.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8 tahun. Diana dan Farid berpisah talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos 2023. Bagaimanapun, perpisahan tersebut tidak bertahan lama apabila Farid mendedahkan sudah kembali rujuk dengan Diana pada 31 Ogos 2023. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.