BENARLAH ungkapan ‘gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia pula mati meninggalkan nama’. Biarpun sudah menuju negeri abadi, nama Allahyarham Nurly Shahirah Azman masih meniti di bibir rata-rata warga maya khususnya mereka yang mengenali arwah. Allahyarham Nurly Shahirah, 23, adalah salah seorang daripada 15 mangsa yang pergi menghadap illahi dalam kemalangan bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi Isnin.
Siapa sangka, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu bukan sahaja seorang hafizah, malah arwah juga rupa-rupanya adalah guru mengaji yang mengajar kanak-kanak membaca al-Quran. Di laman Facebook, abang Nurly yang dikenali sebagai Mohd Najmuddin berkongsi kisah mengenai adiknya itu selain meluahkan rasa terharu bercampur bangga apabila menerima banyak panggilan dan kiriman mesej daripada kenalan arwah.

“Dik, ramai DM (direct message) aku malam ni. Rupanya ramai anak murid kau dik. Ada yang dah tak nak mengaji sebab kau dah tiada. Nak belajar dengan kau je dik. Menangis sebab kau dah tiada dik. Ramai sayang kau dik. Ramai DM tapi aku tak kenal. Semua cerita tentang kau dik… Allahu. Berpusu-pusu media call aku tanya apa amalan kau, dik. Ada media beritahu dekat tempat kejadian wangi sangat,” tulisnya dalam satu hantaran.
Najmuddin turut berkongsi beberapa tangkap layar mesej yang diterimanya termasuk daripada aplikasi WhatsApp dan media sosial. Bukan sahaja berkongsi kesedihan, malah pengirim mesej juga menceritakan kebaikan dan amalan arwah semasa hayatnya. “Anak buah saya satu bilik dengan arwah di (Sekolah Menengah) Imtiaz Besut. Masa meninggal tengah peluk al-Quran,” demikian kiriman salah satu mesej yang dikongsikan Najmuddin.
Menyifatkan adiknya seorang yang sangat menjaga kesucian al-Quran, Najmuddin turut berkongsi gambar memaparkan ayat-ayat suci al-Quran tulisan tangan arwah. “Antara koleksi tahriri (kaedah menulis semula ayat-ayat suci al-Quran yang telah dihafaz) arwah. Arwah suka mengulang al-Quran. Dan arwah tulis satu al-Quran guna tangan untuk kuatkan hafalan arwah.

“Dik, kau jaga al-Quran sangat-sangat baik dik. Kau tak pernah missed mengulang al-Quran setiap hari. Kita jumpa di syurga ye dik. Kami sayang kau dik. Tenanglah kau di sana,” tulisnya lagi. Ternyata, perkongsian berkenaan mengundang hiba dan sebak warganet yang rata-ratanya tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan arwah. Allahyarham Nurly Shahirah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Gong Pasir, Jerteh, kira-kira pukul 4 pagi Selasa.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.