Pemandu bas yang terlibat dalam kejadian tragis mengorbankan 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Jeli-Gerik, tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa serta semua pihak yang terkesan. Memetik laporan Harian Metro, pemandu terbabit, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, menjelaskan bahawa bas yang dipandunya berada dalam keadaan baik pada awal perjalanan, namun sebaik tiba di kawasan jambatan lintasan gajah di Gerik, sistem brek bas didakwa gagal berfungsi.
“Saya minta maaf kepada seluruh keluarga mangsa dan pelajar yang terbabit dalam kejadian pagi semalam. Apa yang berlaku disebabkan brek bas tidak berfungsi secara tiba-tiba. Ketika itu saya sudah cuba melakukan pelbagai cara, namun disebabkan angin bas juga kosong menyebabkan semua tidak berfungsi termasik brek tangan dan gear bas juga tidak boleh ditukar.”
Individu itu mendakwa, dia telah berusaha sedaya upaya untuk mengelak daripada merempuh kenderaan lain sebelum kejadian berlaku. “Seingat saya empat kenderaan saya elak termasuk lori. Kenderaan terakhir saya potong adalah kereta yang mempunyai dashcham dan ketika itu saya sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.
Orang nampak saya memotong dan bawa laju sedangkan hakikat sebenar saya cuba mengelak dari melanggar kenderaan mereka namun disebabkan kejadian yang berlaku adalah kawasan selekoh, saya tidak mampu berbuat apa-apa.” Tambah individu ini lagi, dia juga sempat memberi arahan kepada para penumpang agar bersedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan bas tersebut sudah tidak dapat dikawal.
“Mereka yang berada di kerusi depan mungkin sedar dengan arahan saya, namun yang berada di belakang kebanyakannya sedang tidur dan menyangka saya sedang marah. Saya jangka bas bergerak dalam keadaan brek tidak berfungsi sejauh lebih satu kilometer dan apa yang pasti saya sudah cuba yang terbaik sebagai pemandu bas untuk mengelak kemalangan itu.
Saya tidak memandu laju sebagaimana yang tular kerana saya sendiri arif dengan laluan Jeli-Gerik, apatah lagi lokasi kejadian itu sedang menuruni bukit. Saya merangkak keluar daripada cermin depan dan ketika itu saya melihat keadaan pelajar semua. Saya sendiri sedih dan menangis dengan apa yang berlaku, namun apakan daya, Allah uji saya dengan kejadian berat ini.”
Tambahnya lagi, ini merupakan kali pertama dia terlibat dalam kemalangan serius yang mengorbankan nyawa sepanjang bergelar pemandu bas sejak tahun 2016. “Sebagai pemandu bas, sudah tentu saya rasa sangat bersalah. Namun apa yang berlaku tidak mampu diundurkan masa, saya hanya mampu meminta maaf kepada semua dan saya menyerahkan siasatan kepada pihak polis.”
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.