AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyerahkan sepenuhnya perancangan majlis perkahwinan kepada pelakon Bella Astillah demi memastikan hari bahagia mereka berlangsung seperti diimpikan. Syed Saddiq, 34, berkata dia tidak terlalu memikirkan soal persiapan majlis kerana lebih mengutamakan kehidupan selepas bergelar suami isteri.
Malah, pasangan itu dijangka akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini. “Bab perancangan perkahwinan ini saya serahkan kepada Bella kerana dia lebih mahir. Apa yang menggembirakan dia, saya turuti sahaja. Proses perkahwinan itu tidak penting kerana kita mahu lihat pengakhirannya (hidup sebagai suami isteri) lebih penting.
Insya-Allah kami akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini,” katanya. Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menjelaskan setiap hantaran pertunangan yang diberikan kepada Bella mempunyai makna tersendiri. Menurutnya, fokus utama adalah kepada masa depan termasuk pendidikan anak-anak Bella, selain menyediakan pelaburan jangka panjang menerusi simpanan SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) dan Tabung Haji.
“Saya suka merancang untuk masa depan dan tidak suka membazir, sebab itu kelima-lima hantaran itu ada sebab tersendiri. Cincin tunang bukan sekadar adat tetapi sebagai simbol ikatan. Simpanan untuk Ayden dan Ara juga penting kerana pertunangan ini bukan hanya melibatkan Bella, tetapi juga anak-anaknya. Saya bukan hanya melamar Bella tetapi sedikit sebanyak turut menerima anak-anaknya. Sebab itu saya tekankan soal pendidikan dengan menyediakan SSPN, manakala ASNB (Amanah Saham Nasional Berhad) dan Tabung Haji adalah pelaburan masa depan untuk kami sekeluarga,” ujarnya.
Syed Saddiq dalam masa sama menzahirkan rasa syukur atas doa orang ramai yang disifatkan memberi kesan besar terhadap perjalanan hubungan mereka. “Saya rasa doa daripada rakyat Malaysia memainkan peranan besar. Walaupun pada peringkat awal ia tidak dirancang, percaturan Allah itu sangat hebat.
Bermula daripada kami bekerjasama akhirnya membawa ke sini (pertunangan). Saya sangat bersyukur kerana dalam kesulitan, Allah membalas dengan kebaikan yang jauh lebih besar. Bagi saya Bella adalah anugerah paling besar untuk saya,” jelasnya. Sementara itu, Bella berkongsi detik dia dilamar ketika sama-sama mendaki Gunung Kinabalu pada Januari lalu.
Kongsinya, anak-anaknya juga menerima berita gembira itu dengan hati terbuka selepas diberitahu oleh Syed Saddiq. “Perasaan ketika itu bercampur baur sebab tempat itu sangat sejuk dan saya pun dah penat. Bila kena lamar itu macam-macam dalam kepala. Alhamdulillah saya cakap ‘yes’ dalam masa beberapa saat saja. Respons anak-anak sangat positif. Bukan saya yang kongsikan berita lamaran ini kepada mereka tetapi Syed Saddiq sendiri beritahu Ayden dan Ara,” katanya.
Pada 28 Mac lalu, Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, selamat bergelar tunangan kepada Syed Saddiq dalam sebuah majlis yang berlangsung di ibu negara. Pada majlis tersebut, bakal pengantin bertukar hantaran iaitu lima dulang berbalas tujuh daripada Bella yang juga berkonsepkan Gunung Kinabalu simbolik tempat Syed Saddiq melamarnya pada Januari lalu.
Lebih menjadi perhatian pada majlis tersebut Syed Saddiq menyerahkan Sijil SSPN untuk anak Bella, Ayden dan Ara. Sebelum ini, Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Aliff Aziz pada 2016 dan bercerai pada 13 Jun 2024. Hasil perkahiwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6 tahun.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.