Keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang sepatutnya diumumkan di Mahkamah Persekutuan pada Selasa terpaksa ditangguhkan ke 13 Julai depan. Peguam yang mewakili Syed Saddiq, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, berkata pihaknya dimaklumkan bahawa panel hakim telah mencapai keputusan, namun keputusan itu tidak dapat diumumkan berikutan ketidakhadiran salah seorang hakim yang sedang bercuti sakit.
“Pihak kami dimaklumkan oleh Yang Arif bahawa keputusan rayuan sudah ada, namun belum bersedia untuk diumumkan kerana salah seorang hakim tidak sihat pada hari ini. Susulan itu, keputusan ditangguhkan dan akan diumumkan pada 13 Julai depan. Itu sahaja yang boleh kami kongsikan. Sementara itu, Syed Saddiq berkata dia menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menangguhkan pengumuman keputusan rayuan akhir tersebut.
“Saya menghormati keputusan Yang Arif Hakim dan saya menghormati institusi kehakiman negara sebagai benteng terakhir bagi individu seperti saya mendapatkan keadilan, bukan melalui jalan pintas, tetapi melalui perbicaraan berdasarkan fakta dan data di bawah institusi kehakiman. Saya faham perkara ini tidak dijangka, sebab itu agak sukar untuk saya memberikan komen atau ulasan lanjut.”
Syed Saddiq turut mengakui dia sudah bersedia menghadapi apa juga keputusan selepas enam tahun melalui proses perundangan berhubung kes tersebut. “Bagi saya secara peribadi, ini bukan kes baharu. Sudah enam tahun saya berjuang untuk mendapatkan keadilan, mempertahankan nama, integriti dan maruah saya. Kalau perlu menunggu lagi dua minggu, saya akur dan patuh.”
Terdahulu, Syed Saddiq tiba di Istana Kehakiman kira-kira pukul 8.50 pagi bagi mendengar keputusan rayuan pihak pendakwaan yang dijadual disampaikan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah. Bagaimanapun, prosiding terpaksa ditangguhkan selepas Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali bercuti sakit selama dua hari.
Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023. Sehari selepas keputusan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.