Memang jimat duit betul. Ketahui cara mudah membuat pembersih DIY ini. Ia mampu buat rumah anda harum bersih dan segar.

Pelbagai bahan semula jadi boleh digunakan untuk membuatkan rumah anda berbau harum. Siapa yang tak suka berada dalam ruang yang memiliki aroma segar dan nyaman? Apatah lagi kalau sudah seharian di pejabat dan akhirnya dapat pulang ke rumah yang bersih dan wangi. Tapi sayangnya, ada sahaja penyebab membuatkan rumah kita mempunyai bau yang tidak sedap termasuklah bau sampah, masakan atau permaidani yang sudah hapak baunya.

Hendak membeli wangian rumah, mungkin kena fikir dua-tiga kali. Mana tidaknya, harganya sahaja adakala boleh digunakan untuk membeli bekalan makanan selama seminggu. Bagaimanapun untuk berjimat dan hasil yang cukup memberangsangkan terdapat beberapa cara yang boleh anda buat sendiri (DIY) bagi membuatkan kediaman anda berbau harum. Seperti dikongsi Nik Zainah Muhammad, berikut adalah empat cara untuk membersihkan rumah sekali gus memberi haruman segar kepada kediaman anda.

1. Habuk tak melekat pada perabot

Bahan-bahan: Satu penutup pelembut fabrik dan 10 cawan air. Cara-caranya: Bancuh kedua-dua bahan ini sehingga sebati dan kemudian lapkan pada semua perabot kesayangan anda. Cara ini akan membuatkan habuk tidak mudah melekat pada perabot anda malah membuatkan rumah berbau harum.

2. Mengilatkan lantai

Lantai melekit memang boleh buat rasa tidak selesa apatah lagi di bahagian dapur. Jangan bimbang, ada cara mudah untuk selesaikan masalah itu! Bahan-bahan: Satu penutup pencuci lantai, cuka dan air panas. Cara-caranya: Mulakan dengan menyapu sampah terlebih dahulu sehingga kotoran dan habuk dibersihkan. Satukan semua bahan-bahan di atas dan mula mengemop lantai anda. Ulang proses mengemop beberapa kali sehingga lantai bersih. Hasilnya lantai akan menjadi lebih licin dan berkilat seperti baharu menukar jubin. Kena cuba!

3. Wangian rumah

Selain menggunakan penyegar udara, anda boleh juga cuba petua ini untuk memastikan kediaman anada sentiasa wangi dan segar. Bahan-bahan: Satu penutup pelembut fabrik dan cuka. Cara-caranya: Mudah! Gabungkan kedua-dua bahan ini dan semburkan pada seluruh rumah anda. Gabungan kedua-dua bahan ini akan memberi bau yang segar dan memberi udara yang lebih bersih. Pastikan langsir dan semua perabot berfabrik disembur dengan rata agar baunya lebih tahan lama.

4. Segarkan bilik air

Bahan-bahan: Satu sudu kecil soda bikarbonat, satu sudu kecil cuka dan satu cawan air. Cara-caranya: Satukan kesemua bahan-bahan ini dan masukkan ke dalam bekas penyembur. Semburkan ke seluruh bilik air setiap hari. Hasilnya, bilik air berbau lebih segar dan harum. Sumber: mstar.

Pokok Yang Anda Tanam Degil Dan Tak Mahu Berbuah. Ketahui Cara Buat Teknik Kelaran. Hasilnya Memang Lebat.

Jika di halaman rumah kita ada menanam pokok buah-buahan tapi setelah sekian tak juga berbuah mungkin sudah sampai masa anda buat teknik kelaran seperti yang dikongsi oleh Abdul Hamid Ahmad ini. Daripada merungut depan pokok, sebaik ambil parang dan buat teknik kelaran ini. Buat dengan penuh perasan ya.

Teknik kelaran atau girdling

Sebelum ini saya ada menyebut teknik kelaran (atau girdling technique) yang telah saya buat pada pokok tin dan pokok mangga. Beberapa sahabat serta tuan admin Izham Alias mencadangkan dibuat pautan kepada maklumat ini. Maka dikesempatan ini saya tuliskan sebuah nota ringkas yang menerangkan sedikit-sebanyak tentang teknik ini.mTeknik girdling diamalkan oleh penanam pokok buah-buahan, baik untuk kegunaan sendiri atau di ladang. Ada dua tujuan teknik ini dilakukan:

a) Untuk mendapatkan buah yang banyak pada sesuatu musim, dan untuk menjadikan buah lebih besar dan lebih perisa.

b) Untuk memaksa pokok berbuah.

Ramai yang merungut pokok yang ditanam sehingga kini tak berbuah. Maka mahu ditakik dan ditabur garam. Ada yang cadangkan bakar pangkalnya. Disuruh bercakap dan berunding dengan pokok. Malah ada yang suruh ikatkan selipar buruk. Paling dahsyat, disuruh sarungkan coli pada pokok durian! Apa sahajalah, asalkan bahagia. Jika tak dapat buah, dapat lucunya. Apa kata buat teknik kelaran?

Teori

Tumbuhan membentuk makanan (dalam bentuk karbohidrat, atau disebut juga “gula”) melalui fotosistesis di daun. Kemudian gula ini disebarkan ke seluruh pokok, tetapi akhirnya dihantar ke akar untuk tujuan simpanan. Jalan penghantaran bahan gula ini adalah melalui tisu floem yang banyak terdapat pada kulit. Pokok yang lambat berbuah itu terus-terus sahaja menyimpan gula ini di akar. Ini kita tak mahu. Kita mahu dia simpan di dahan-dahan dan apabila cukup bekalan, cepat-cepat membentuk bunga dan buah. Jika itu yang kita mahu, maka lakukan sesuatu supaya gula itu tidak dihantar ke akar. Bagaimana?  Potong jalan penghantaran itu. Iaitu dengan membuat kelaran pada kulit. Kelaran boleh dibuat pada:

a) pangkal dahan-dahan utama
b) sekeliling paksi pokok.

Cara membuat kelaran

  • Senang sahaja. Kelar.
  • Potong kulit sehingga menyentuh tisu kayu. Sentuh saja. Jangan potong kayu itu. Buat potongan pertama. Kemudian potongan kedua. Lebar kelaran ini hendaklah tidak lebih daripada 5mm. Jika pokok kecil seperti pokok tin, 2mm cukuplah.
  • Potonglah menggunakan pisau yang tajam. Jika pokok ini subur, selepas dua potongan dibuat, tinggal siat sahaja. Kulitpun tanggal. Lihat gambar.
  • Selepas kelar, terpulanglah. Boleh dibalut dengan plastik cantuman. Boleh cat. Boleh biarkan sahaja.
  • Maka selepas beberapa minggu, seharusnya pokok mula mengeluarkan bunga dan seterusnya berbuah. Selepas dua bulan, kelaran tadi sudah bercantum semula. Sebab itu jangan kelar lebar. Nanti pokok mati. Tinggal bacakan talkin sahajalah.
  • Jika kelaran ini bertujuan untuk membesarkan dan memaniskan buah, kelarlah selepas bunga kembang. Jangan lewat. Jangan terlalu awal.
  • Jika kelaran bertujuan untuk memaksa pokok berbuah, buatlah bila anda geram dan marah-marah.

Kaedah

Saya tunjukkan gambar sebenar girdling pada dahan mangga Honey Dew yang saya buat. Kelaran boleh dibuat dengan dua cara iaitu dengan bersambung atau bertindih.

a) Bersambung jika anda dapat buat potongan dengan lurus. Jika mahu buat begini, tandakan dengan pensel atau pen. Baru potong dengan pisau.

b) Bertindih. Hujung tidak bertemu tetapi MESTI bertindih.

Kalau tak bertemu? Kalau tak bertindih?.Kalau tak ikut teknik dan nasihat cikgu, tak menjadilah. Selamat mencuba. Sumber: Rose Merah