Pelaburan terhadap mencipta pengalaman antara cara seorang lelaki perbaiki dirinya. Apabila memasuki usia 30 tahun, kebanyakan lelaki sudah mencapai keseimbangan dalam kehidupan seperti mempunyai keluarga, pekerjaan yang baik dan sebagainya. Namun pada lingkungan usia itu juga, terdapat segelintir lelaki yang mula mengabaikan diri sendiri kerana sentiasa tertumpu kepada tanggungjawab terhadap keluarga tercinta.
Tumpuan sepenuhnya pada orang lain akan memberi refleksi kepada diri mereka seperti penampilan, berat badan yang meningkat secara mendadak, tekanan dan sebagainya. Belum terlambat untuk lelaki dalam usia 30-an membuat pelaburan untuk diri mereka sendiri dan berikut adalah enam pelaburan yang perlu diberikan perhatian dan tidak merugikan.
Pelaburan terhadap buku
Sedar atau tidak, sebuah buku dapat mengubah pelbagai aspek kehidupan seseorang. Daripada membazir membeli barangan hanya untuk kepuasan nafsu, apa kata laburkan wang anda dengan membeli bahan bacaan bermanfaat. Buku bukan sahaja dapat membuatkan seorang lelaki menambah ilmu tetapi ia juga membantu dalam meningkatkan kualiti tidur, memori, pengetahuan am dan mengurangkan risiko kemurungan dan anxiety.
Pelaburan untuk pengalaman
Jauh berjalan, luas pengalaman! Apabila memasuki usia 30 tahun, kebanyakan kaum lelaki sudah mencapai keseimbangan dalam kehidupan termasuk dalam hubungan, pekerjaan dan sebagainya. Namun itu bukan bererti seorang lelaki boleh duduk goyang kaki tetapi cubalah membuat pelaburan untuk menambah pengalaman dalam kehidupan.
Tidak perlu ke luar negara tetapi boleh bermula dengan melakukan aktiviti disukai atau menyertai sesuatu perkara yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Melabur untuk pengalaman banyak manfaat seperti mematangkan diri, menambah keyakinan diri, belajar tentang kehidupan dan paling penting seorang lelaki dapat mengenali dirinya dengan lebih baik.
Pelaburan tingkatkan kemahiran diri
Semakin meningkat usia seorang lelaki akan cepat bosan dengan rutin kehidupan mereka dan apabila mencecah usia 30 tahun adalah lebih baik cuba melabur untuk tingkatkan kemahiran diri sendiri. Tidak semestinya ia memerlukan wang tetapi cukup laburkan masa dan usaha dalam pelbagai aktiviti dalam komuniti, kelas percuma dan sebagainya.
Pelaburan untuk diri sendiri
Jangan sesekali berhenti untuk melabur untuk diri sendiri kerana itu adalah antara perkara yang membuatkan seorang lelaki gembira. Jika minat dengan basikal atau kereta mainan, lakukan kerana itu bermakna anda mengambil berat tentang diri sendiri. Pelaburan untuk orang lain, bersedekah atau membantu orang lain dalam kesusahan tidak akan pernah membuatkan anda miskin! Dalam hidup ini perlu sentiasa pandang ke bawah untuk mensyukuri nikmat diberikan tuhan. Ini kerana manusia yang paling gembira adalah mereka yang membuatkan orang lain tersenyum.
Pelaburan makanan sihat
Seiring dengan peningkatan usia, seseorang akan lebih mudah terdedah kepada pelbagai risiko penyakit dan pada usia lingkungan 30-an, seorang lelaki perlu lebih menitikberatkan soal pemakanan. Buatlah pelaburan untuk makanan berkhasiat yang boleh melindungi diri anda daripada penyakit berbahaya. Perbanyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam diet. Sumber, mstar