SETIAP ibu bapa pasti akan melakukan apa sahaja demi cahaya mata mereka, biarpun nyawa yang menjadi galang gantinya. Begitu juga dengan pasangan suami isteri Azlan Ishak dan Norhidayu Halim yang tidak pernah merungut lelah setiap kali berulang-alik ke hospital menaiki motosikal untuk merawat anak kelima mereka, Mohd Aariz Zafran Azlan. Kisah keluarga ini tular selepas video mereka tiga beranak yang sedang menaiki motosikal dirakam oleh seorang pengguna jalan raya yang kemudiannya membuat perkongsian di laman sosial.
Video tersebut menyentuh hati ramai apabila anak pasangan berkenaan yang masih kecil dilihat memakai mesin bantuan pernafasan. Berkongsi cerita, Azlan yang menetap di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah berkata, anak kelimanya menghidap masalah paru-paru, limpa dan Refluks Gastroesophageal (Gerd) sejak berusia dua bulan. “Mohd Aariz yang berusia 11 bulan perlu memakai mesin CPAP (continous positive airway pressure) sejak masalahnya dikesan ketika berusia dua bulan.
Setiap bulan saya dan isteri akan membawa Mohd Aariz untuk temu janji dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah. Saya tiada kereta, hanya sebuah motor untuk cari rezeki dan bawa anak ke hospital yang terletak kira-kira 23 kilometer dari rumah,” ujarnya. Azlan, 36, berkata dia hanya bekerja sebagai pembantu di jeti pelantar ikan manakala isterinya tidak bekerja memandangkan perlu memberi tumpuan kepada anak mereka yang menghadapi masalah kesihatan.
“Sebelum ini saya nelayan namun selepas operasi di perut, saya tidak lagi turun ke laut. Pendapatan saya ikut harian… kalau hasil tangkapan banyak, dapatlah RM50 sehari. Kalau kurang, kuranglah gaji. Pendapatan itulah untuk kami sekeluarga makan dan tanggung rawatan anak. Selain anak, saya dan isteri turut menjaga ibu yang strok di rumah. Selalu tak cukup sebenarnya, tapi kami bersyukur dengan rezeki yang ada dan saya berlapang dada dengan ujian ini. Saya akan buat yang terbaik sebagai bapa,” ujarnya yang turut mempunyai empat anak tiri.
Biarpun sentiasa mengalami kesempitan kewangan, namun Azlan berkata dia tidak pernah sesekali meraih simpati sebaliknya menggunakan tulang empat keratnya mencari rezeki. “Tapi bila video kami tiga beranak viral baru-baru, saya anggap ia sebagai hikmah tidak terhingga buat kami. Saya pun baru tahu petang semalam (Isnin) selepas kawan isteri beritahu.
“Ada orang dalam kereta ambil video tanpa pengetahuan saya. Ketika itu saya dan isteri nak pergi Hospital Sultanah Bahiyah. Saya tak sangka daripada video tersebut, mencurah-curah doa dan ramai yang murah hati beri sumbangan kepada kami. Saya nak ucapkan terima kasih kepada individu yang rakam video tu. Kami saling tak mengenali pun. Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin. Saya hanya mampu doakan kebaikan berbalik kepada anda semua saya tak mampu nak balas,” luahnya sebak.
Dalam perkembangan terbaharu, kisah keluarga Azlan turut meraih perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi dalam catatan di Facebook berkata, pihak Anwar berbesar hati mahu menghulurkan bantuan kepada keluarga ini. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.