BERSIMPATI dengan nasib menimpa Shuk Sahar membuatkan pelakon Iqram Dinzly tampil bersuara membela pelawak berkenaan yang sedang berdepan masalah rumah tangga. Iqram atau Mohammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 43, berkata, dia tiada niat mencampuri urusan rumah tangga orang lain sebaliknya kurang senang dengan sikap wanita yang suka membuka aib suami.
“Saya bukan nak masuk campur rumah tangga dia tapi saya sekadar menasihati agar tidak membuka aib seperti mencampak batu sorok tangan. Saya juga bukan nak burukkan isteri Shuk tapi kenyataan saya sebelum ini adalah satu teguran supaya tidak menjadi ciri-ciri wanita akhir zaman yang mana aib suka dibuka dengan secela-celanya. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Kita perlu jaga adab walau seburuk mana sekalipun isteri atau suami itu. Sebolehnya kita cuba tutup aib antara satu sama lain dengan sebaik mungkin,” katanya.
Ditanya adakah ia kifarah atas kesilapan lalu, Iqram enggan mengulas lanjut namun meminta agar warganet tidak menjatuhkan hukum terhadap pasangan berkenaan. Menurut Iqram, ia adalah lumrah dalam rumah tangga yang pastinya ada pasang surut dan dilalui oleh semua orang. “Saya risau baca komen warganet sekarang. Soal jodoh, ajl dan maut adalah ketentuan Ilahi. Saya tak boleh nak katakan apa yang berlaku adalah kifarah atau karma kerana saya tidak tahu masalah rumah tangga mereka dengan lebih mendalam.
Saya harap warganet pun janganlah terlalu menghukumi. Saya tahu warganet pun geram dengan apa yang berlaku, tapi saya rasa janganlah bangkitkan kisah silam mereka. Ini adalah ujian rumah tangga mereka. Setiap pasangan yang berkahwin akan melalui ujian. Walaupun saya belum berkahwin, tapi saya tahu serba sedikit. “Apa yang boleh saya katakan, kita doakan yang baik-baik buat mereka. Kita jangan meruntuhkan masjid lagi sebab kes perpisahan pun semakin tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Iqram berkata perkara seperti ini kembali memburukkan nama Shuk memandangkan dia mula kembali diterima peminat. Sebagai rakan yang pernah berniaga bersama, dia juga melihat perubahan Shuk yang gigih membanting tulang bagi menguruskan perniagaannya. “Sekarang ini saya lihat Shuk berusaha keras ke sana sini untuk berniaga. Berbeza dengan Shuk yang dahulu. Bila isteri dia keluarkan perkara itu nampak macam Shuk buruk sangat. Tak seronok rasanya sebagai rakan saya tidak tolong backup.
Apa yang dikeluarkan itu ibarat Shuk seorang sahaja yang jahat dan buruk,” jelasnya. Pada Isnin lalu, Fara menerusi temu bual bersama mengakui ada meminta pisah dengan Shuk kerana sudah penat melayan kerenah suaminya. Ini kerana dia sudah hilang sabar dengan perangai Shuk yang sering bercerita mengenai keburukannya kepada kenalan rapat sehingga mencalarkan nama baiknya.
Fara menerusi Thread secara terbuka menulis luahan hati mengenai masalah rumah tangganya pada Isnin lalu. Untuk rekod, Fara dan Shuk mendirikan rumah tangga pada November tahun lalu dan ini merupakan perkahwinan kedua buat pelawak itu. Shuk sebelum ini pernah berkahwin dengan Rossa Sera dan bercerai pada 22 Mac 2023. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 8, Nur Assyifatu Aimi, lima tahun. Sumber: Mstar.
PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.