Youtube menjadi salah satu platform nombor satu paparan video bukan sahaja untuk mendapatkan subscriber malah ia boleh menguntungkan. Youtuber ialah pencipta kandungan video yang menjadi pekerjaan pilihan bagi sesetengah individu. Bukan sahaja terkenal, malah seorang Youtuber juga boleh mendapat ratusan hingga ribuan ringgit untuk setiap video. Menurut Forbes, pendapatan semua Youtuber dianggarkan berjumlah AS$300 juta (RM1.257 bilion) yang diperoleh hasil daripada bilangan penonton dan iklan yang disiarkan. Sehingga kini, pengguna YouTube telah berkembang sebanyak 40 peratus dan mempunyai hampir dua bilion pengguna di seluruh dunia, sekali gus trend ini meningkatkan pendapatan golongan Youtuber. Berikut adalah Top 10 YouTuber terkaya di dunia:
1. Jimmy Donaldson
Jimmy Donaldson berjaya menduduki tempat pertama sebagai Youtuber dengan pendapatan tertinggi di dunia – melalui saluran YouTube MrBeast, Jimmy berjaya mengaut keuntungan lebih AS$54 juta (RM226 juta). Bukan sahaja Youtube, MrBeast juga mempunyai aplikasi pesanan burger dengan nama MrBeast Burger yang menghubungkan pelanggan dengan lebih 1,600 restoran di Amerika Syarikat (AS).
2. Jake Paul
Jake Paul dicarta kedua dengan pendapatan AS$45 juta (RM188.6 juta) hanya dengan memuat naik video perjuangannya sebagai peninju profesional di Youtube. Paul juga pernah bertarung dengan peninju kategori kelas atas dari MMA seperti Ben Askren dan Tyron Woodley.
3. Markiplier
Youtuber Markiplier dengan pendapatan ketiga tertinggi, memperoleh kekayaan daripada video yang dimuat naik berjumlah AS$38 juta atau RM159 juta. Mark yang hanya pengulas permainan video, telah mengumpulkan sehingga 31.5 juta subscriber.
4. Rhett dan Link
Rhett dan Link berada ditempat keempat dengan pendapatan AS$30 juta (RM126 juta). Kedua-duanya mempunyai saluran YouTube yang dipanggil Good Mythical Morning yang menyampaikan cerita, menyanyikan lagu dan melakukan pelbagai cabaran.
5. Nathan Graham
Dengan bilangan subscriber mencecah 12.5 juta, saluran YouTube Unspeakable berjaya memperoleh kekayaan sehingga AS$28.5 juta (RM119 juta). Pencapaian ini juga menjadikan saluran Nathan Graham menduduki tempat kelima pendapatan tertinggi dalam barisan Youtuber.
6. Nastya
YouTuber cilik dari Rusia, Nastya, memperoleh pendapatan iaitu AS$28 juta atau RM117 juta. Pendapatan itu sekaligus menempatkan Nastya di tangga keenam sebagai barisan Youtuber terkenal selain memiliki pendapatan antara yang tertinggi.
7. Ryan Kaji
Selain itu, Youtuber muda, Ryan Kaji, juga berjaya menduduki posisi ketujuh sebagai barisan Youtuber berpendapatan tinggi. Dengan memperoleh AS$27 juta (RM113 juta).
8. Dude Perfect
Saluran YouTube Dude Perfect juga berjaya meletakkan kedudukannya sebagai Youtuber berpendapatan tertinggi kelapan dengan memperoleh AS$20 juta atau RM89 juta. Saluran ini diisi oleh beberapa orang iaitu Coby, Cotton, Cory Cotton, Garrett Hilbert, Cody Jones, dan Tyler Toney – mereka berlima menyiarkan hiburan berbentuk komedi sukan.
9. Logan Paul
Logan Paul juga tersenarai dalam YouTuber berpendapatan tertinggi di dunia, dia berjaya mengaut pendapatan sehingga AS$18 juta (RM75 juta). Sebelum ini, saluran YouTube Logan bersama abangnya Jake Paul pernah digantung oleh YouTube kerana memuat naik video seseorang membunuh diri di hutan Aokigahara.
10. Preston Arsement
Kedudukan terakhir dihuni Preston Arsement, yang memperoleh pendapatan AS$16 juta atau RM67 juta. Preston yang biasanya memuat naik permainan video di Youtube, juga terkenal sebagai salah satu platform pengguna Youtube untuk membuat rujukan melalui tayangan videonya. Sumber:mstar
Pekerjaan Ini Akan Hilang Lagi Sedekad Pada 2023. Ini 5 Pekerjaan Yang Dijangka Akan Hilang Pada 2033.
Dengan pembangunan teknologi yang pesat, banyak pekerjaan yang akan menjadi tidak relevan kerana digantikan dengan robot dan kecerdasan buatan (artificial intelligence). Dalam satu kajian yang dilakukan Foundation for Young Australians, 60 peratus orang muda di negara itu belajar dan berlatih untuk pekerjaan yang bakal pupus pada dekad akan datang. Meskipun subjek yang dipilih ialah penduduk negara Australia, kajian ini telah menjadi rujukan dan bahan bualan oleh para pengkaji dari seluruh dunia.
Berikut adalah 5 pekerjaan yang bakal hilang menjelang tahun 2033:
1. Ejen pelancongan
Pada zaman dahulu, seseorang itu perlu pergi ke agensi pelancongan untuk melihat risalah tentang lokasi yang hendak dituju. Namun, semua itu sudah diganti dengan teknologi seperti laman web dan aplikasi telefon pintar. Dengan aplikasi seperti Trivago dan Agoda, semua proses seperti tempahan hotel boleh dilakukan hanya di hujung jari. Menjelang tahun 2030, agak logik jika agensi pelancongan hanya menfokuskan perniagaan mereka secara atas talian.
2. Tukang masak restoran makanan segera
Untuk mengurangkan kos perbelanjaan, restoran makanan segera akan mengaplikasikan teknologi automasi dalam proses penghasilan makanan mereka. Dengan teknologi yang semakin maju, tidak mustahil jika pekerjaan tukang masak makanan segera akan dikurangkan atau tidak relevan lagi. Situasi ini sudah pun terjadi di sebuah restoran makanan segera CaliBurger, di mana mereka menguji tenaga kerja automatik yang dikawal oleh kecerdasan buatan.
3. Pekerja gudang
Ini bukanlah sesuatu yang baharu di dunia ini. Pada ketika ini, beberapa gudang besar di China sudah pun menggunakan robot untuk menggerakkan barang dari titik A ke titik B. Malah, proses pengasingan dan pengklasifikasian bungkusan juga dapat dilakukan dengan mudah, dengan bantuan kecerdasan buatan dan robot.
4. Pemandu trak
Trak yang mampu untuk memandu sendiri dengan bantuan komputer bakal menggantikan pemandu trak pada masa akan datang. Malah, penggunaan kecerdasan buatan mampu untuk mengurangkan kesilapan manusia seperti mengantuk atau tersesat jalan.
5. Juruwang
Pada zaman sekarang, rata-rata daripada kita akan membuat pembayaran tanpa sentuhan dengan menggunakan kad dan e-dompet. Ditambah pula dengan kemajuan mata wang kripto yang boleh diakses di hujung jari, teknologi ini sedikit sebanyak akan membuatkan orang ramai tidak membuat pembayaran secara fizikal.