PENYANYI dan pelakon MK K-Clique teruja melihat perkembangan anak perempuannya iaitu Aya Rayana yang kini semakin menunjukkan minat terhadap muzik terutama genre rap. MK atau Muhammad Hairi Amin Hamdan, 30, berkata anak sulungnya yang baru berusia dua tahun itu sudah mampu menghafal beberapa lagu nyanyiannya iaitu Pulang, Risiko dan Mimpi.
“Saya tidak tipu. Baru dua tahun tetapi dia boleh ikut lagu Pulang, Risiko dan Mimpi. Cuma kalau saya rap di rumah, dia marah. Itu yang saya pelik. Kalau pasang lagu itu dan saya ikut rap, dia akan marah,” katanya. Berkongsi mengenai telatah Aya, MK berkata isterinya, Siti Hajaar sering merakam gelagat anak mereka dan menghantar video berkenaan kepadanya.
Bukan sahaja mampu mengikut rentak lagu, Aya juga turut gemar menyanyi dan menari. “Isteri saya selalu hantar video dia menyanyikan lagu Pulang. Sebelum ini pun kami selalu bawa dia ke persembahan. Ketika dia masih kecil, kami hanya buka tingkap kereta di belakang pentas. Jadi, dia tahu bapanya pergi buat persembahan rap. Sekarang apabila sudah besar, dia akan berada di tepi pentas, duduk diam dan tengok,” kongsinya.
Ditanya mengenai kemungkinan Aya mengikut jejak langkahnya dalam bidang rap, MK berkata dia tidak akan menghalang sekiranya itu benar-benar minat anaknya. MK bagaimanapun berkata dia tetap akan memastikan agama menjadi pegangan utama dalam kehidupan puterinya itu. “Janganlah dia rap! Tetapi kalau dia minat rap, terpulanglah. Saya terbuka dengan anak saya.
Saya mahukan yang terbaik untuk dia dan mahu dia melakukan apa yang dia suka. Saya tidak mahu menghalang atau mengehadkan minatnya. “Yang penting, saya mahu dia tahu apa yang patut dan tidak patut, mana yang baik dan buruk serta mana yang halal dan haram. Insya-Allah, saya akan sentiasa ada untuk membimbing dia,” ujarnya. Untuk rekod, MK mendirikan rumah tangga dengan Hajaar pada 16 Jun 2023 dan dikurniakan cahaya mata pertama, Aya Rayana pada 3 Ogos 2024.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.