Pokok yang anda tanam degil dan tak mahu berbuah. Ketahui cara buat teknik kelaran. Hasilnya memang lebat.

Jika di halaman rumah kita ada menanam pokok buah-buahan tapi setelah sekian tak juga berbuah mungkin sudah sampai masa anda buat teknik kelaran seperti yang dikongsi oleh Abdul Hamid Ahmad ini. Daripada merungut depan pokok, sebaik ambil parang dan buat teknik kelaran ini. Buat dengan penuh perasan ya.

Teknik kelaran atau girdling

Sebelum ini saya ada menyebut teknik kelaran (atau girdling technique) yang telah saya buat pada pokok tin dan pokok mangga. Beberapa sahabat serta tuan admin Izham Alias mencadangkan dibuat pautan kepada maklumat ini. Maka dikesempatan ini saya tuliskan sebuah nota ringkas yang menerangkan sedikit-sebanyak tentang teknik ini.mTeknik girdling diamalkan oleh penanam pokok buah-buahan, baik untuk kegunaan sendiri atau di ladang. Ada dua tujuan teknik ini dilakukan:

a) Untuk mendapatkan buah yang banyak pada sesuatu musim, dan untuk menjadikan buah lebih besar dan lebih perisa.

b) Untuk memaksa pokok berbuah.

Ramai yang merungut pokok yang ditanam sehingga kini tak berbuah. Maka mahu ditakik dan ditabur garam. Ada yang cadangkan bakar pangkalnya. Disuruh bercakap dan berunding dengan pokok. Malah ada yang suruh ikatkan selipar buruk. Paling dahsyat, disuruh sarungkan coli pada pokok durian! Apa sahajalah, asalkan bahagia. Jika tak dapat buah, dapat lucunya. Apa kata buat teknik kelaran?

Teori

Tumbuhan membentuk makanan (dalam bentuk karbohidrat, atau disebut juga “gula”) melalui fotosistesis di daun. Kemudian gula ini disebarkan ke seluruh pokok, tetapi akhirnya dihantar ke akar untuk tujuan simpanan. Jalan penghantaran bahan gula ini adalah melalui tisu floem yang banyak terdapat pada kulit. Pokok yang lambat berbuah itu terus-terus sahaja menyimpan gula ini di akar. Ini kita tak mahu. Kita mahu dia simpan di dahan-dahan dan apabila cukup bekalan, cepat-cepat membentuk bunga dan buah. Jika itu yang kita mahu, maka lakukan sesuatu supaya gula itu tidak dihantar ke akar. Bagaimana?  Potong jalan penghantaran itu. Iaitu dengan membuat kelaran pada kulit. Kelaran boleh dibuat pada:

a) pangkal dahan-dahan utama
b) sekeliling paksi pokok.

Cara membuat kelaran

  • Senang sahaja. Kelar.
  • Potong kulit sehingga menyentuh tisu kayu. Sentuh saja. Jangan potong kayu itu. Buat potongan pertama. Kemudian potongan kedua. Lebar kelaran ini hendaklah tidak lebih daripada 5mm. Jika pokok kecil seperti pokok tin, 2mm cukuplah.
  • Potonglah menggunakan pisau yang tajam. Jika pokok ini subur, selepas dua potongan dibuat, tinggal siat sahaja. Kulitpun tanggal. Lihat gambar.
  • Selepas kelar, terpulanglah. Boleh dibalut dengan plastik cantuman. Boleh cat. Boleh biarkan sahaja.
  • Maka selepas beberapa minggu, seharusnya pokok mula mengeluarkan bunga dan seterusnya berbuah. Selepas dua bulan, kelaran tadi sudah bercantum semula. Sebab itu jangan kelar lebar. Nanti pokok mati. Tinggal bacakan talkin sahajalah.
  • Jika kelaran ini bertujuan untuk membesarkan dan memaniskan buah, kelarlah selepas bunga kembang. Jangan lewat. Jangan terlalu awal.
  • Jika kelaran bertujuan untuk memaksa pokok berbuah, buatlah bila anda geram dan marah-marah.

Kaedah

Saya tunjukkan gambar sebenar girdling pada dahan mangga Honey Dew yang saya buat. Kelaran boleh dibuat dengan dua cara iaitu dengan bersambung atau bertindih.

a) Bersambung jika anda dapat buat potongan dengan lurus. Jika mahu buat begini, tandakan dengan pensel atau pen. Baru potong dengan pisau.

b) Bertindih. Hujung tidak bertemu tetapi MESTI bertindih.

Kalau tak bertemu? Kalau tak bertindih?.Kalau tak ikut teknik dan nasihat cikgu, tak menjadilah. Selamat mencuba. Sumber: Rose Merah

Rupanya Haiwan Jallalah Perlu Dikuarantin. Ketahui Hukum Dan Tempoh Kuarantin Sebelum Boleh Dimakan.

Apakah dibolehkan makan haiwan jallalah? Haiwan jallalah adalah haiwan yang makanannya berasal daripada najis sekalipun ia bukan tahi seperti kambing yang membesar dengan susu daripada anjing atau keldai jinak. Justeru, termasuklah juga dalam kategori ini adalah ikan-ikan yang membesar di dalam kolam najis, ikan-ikan ternakan yang diberi makan najis berupa perut ayam dan sebagainya. Ataupun ayam kampung yang dibiarkan bebas sehingga memakan kotoran serta najis dan lain-lain seumpamanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, dari sudut sains, haiwan jallalah ini dikenali sebagai coprophagous (coprophagy). Coprophagous ini jelas Zulkifli ialah hidupan yang makan tahi atau najis haiwan yang lain. Kebanyakan serangga merupakan spesies coprophagous dan biasanya merupakan pengguna tegar tahi atau najis haiwan herbivor yang lebih besar daripadanya. Antara serangga daripada spesies ini ialah kumbang tahi (dung beetles).

Persoalannya, berapa lamakah kadar tempoh kuarantin haiwan jallalah bagi mengharuskan dagingnya untuk dimakan?

Ada segelintir membiarkan kolam ternakan mereka kotor dan membiarkan ikan makan najis dan kotoran.

Zulkifli menjelaskan mengenai hukumnya, para ulama telah berbeza pendapat mengenainya kepada dua iaitu sama ada haram atau makruh. Perbezaan pendapat ini timbul disebabkan oleh perbezaan mereka dalam memahami maksud sebenar larangan Rasulullah SAW dalam hadith berkenaan isu ini yakni adakah ia merujuk kepada haram atau makruh  sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata: (Maksudnya): “Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah yakni dagingnya dan susunya.”

Begitu juga terdapat riwayat lain yang datang dengan lafaz: (Makasudnya): “Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah daripada jenis unta, sama ada menunggangnya atau minum daripada susunya.” Pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i ialah hukumnya adalah makruh, dan ini juga merupakan pendapat mazhab Maliki dan Hanafi, serta salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali.

“Hal ini kerana larangan tersebut tidak kembali kepada zatnya, akan tetapi kepada perkara yang mendatang  yakni bukan kekal pada zat  yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. “Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram. Selain itu, mereka juga berhujah bahawa apabila haiwan berkenaan memakan najis dalam kuantiti yang banyak telah menyebabkan dagingnya berubah dan berbau busuk. “Oleh itu, makruh memakannya sebagaimana makanan yang berbau busuk yang lain,” jelasnya.

Haiwan jallalah yang dikuarantin selepas terzahirnya bau najis dan diberi makan makanan yang baik hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh.

Tempoh kuarantin haiwan jallalah

Sementara itu, Zulkifli berkata, para ulama berpendapat bahawa haiwan jallalah yang dikuarantin terlebih dahulu selepas terzahirnya bau najis dan diberi makan makanan yang baik yakni bukan najis  sehingga hilang bau najis tersebut, hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh. Tambahan lagi, al-Kasani juga ada menyebutkan bahawa hukum makruh tersebut adalah berkait rapat dengan perubahan daging dan bau busuk. Sekiranya tiada lagi bau busuk itu, hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh.

“Malah, para ulama yang berpegang dengan pendapat haram daging haiwan jallalah seperti salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali, juga membenarkan memakannya setelah dikuarantin dalam satu tempoh masa dan diberi makan makanan yang baik bukan najis. “Namun, mereka berbeza pandangan pada tempoh masa pengkuarantinan tersebut. Ada yang tidak menetapkan tempoh masa, manakala ada yang membezakan tempoh masa berdasarkan kesesuaian haiwan berkenaan seperti bagi kategori burung selama tiga hari, kambing selama tujuh hari dan apa yang selain daripada kedua-dua kategori ini selama 40 hari,” ujarnya.

Pendapat dalam mazhab Syafi‘i mengenai hal ini dapat dilihat melalui kenyataan Imam al-Nawawi yang menyebutkan bahawa jika haiwan jallalah diberi makanan yang bersih, dan dagingnya suci  yakni tidak lagi berbau  maka hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh. Hal ini jelasnya adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma yang menyatakan bahawa berikan makanan yang bersih kepada haiwan jallalah selama 40 hari jika ia ialah unta, tujuh hari jika ia ialah kambing dan tiga hari jika ia ialah ayam.