Pemuda ni akui datang dari masa depan tahun 2236, Sekali dia dedahkan 3 perkara yang bakal berlaku pada tahun ni

Bukannya pertama kali ada yang mengaku dirinya datang daripada pengembara masa. Kini ada lagi seorang individu yang muncul dari tahun 2236. Tular satu rakaman yang dapat perhatian sehinggakan 14 juta tontonan. Individu ini dedah 3 peristiwa yang bakal berlaku dalam tahun ini pada 3 tarikh yang berbeza. “Orang tak percaya saya pengembara masa, ini beberapa peristiwa besar yang akan berlaku tahun ini. Pada 17 Jun, haiwan terbesar dalam lautan akan ditemui di Lautan Pasifik.

Pada 16 September, seorang pemuzik terkenal yang telah pergi buat selamanya bakal muncul semula dan mengaku dia memalsukan kehilangannya selama ini. Malah menjelang akhir tahun, robot akan meningkat 20 peratus bagi menggantikan pekerjaan manusia,” ujarnya. Mengenai pemuzik yang memalsukan kehilangannya, beberapa warganet mula mendkwa Michael Jackson atau Tupac merupakan individu yang dimaksudkan oleh pengembara masa itu. Namun, ramai juga yang tidak percaya dan menganggap pengembara masa itu sebagai penipu. Sumber : MSTAR ONLINE

Masa depan dunia. Teknologi telekomunikasi generasi baharu iaitu 5G adalah masa depan dunia industri memandangkan ia tidak hanya menawarkan keupayaan transmisi yang tinggi sebaliknya mengurangkan kelengahan. Seluruh dunia pada hari ini menumpukan usaha untuk memperkemaskan teknologi berkenaan dan beberapa negara maju antaranya Korea Selatan sudah pun melancarkan sistem jaringan telekomunikasi berkenaan dengan skala besar sejak setahun lalu. Sebelum ini, saintis menghadapi kesukaran apabila sistem Kecerdasan Buatan (AI) dan robotik yang digunakan untuk memandu sesebuah kenderaan menghadapi masalah kelewatan penghantaran dan ia tidak boleh dipraktikkan secara meluas.

Kewujudan sistem jaringan 5G ini bukan saja memberi manfaat yang besar kepada masyarakat, namun sektor industri akan mengalami anjakan paradigma yang besar hasil kemajuan teknologi berkenaan. Susulan itu juga, kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022 hujung bulan lalu sudah menggariskan perluasan serta penambahbaikan jaringan telekomunikasi sedia ada. Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, langkah komited kerajaan untuk meneruskan perluasan perkhidmatan sistem telekomunikasi Generasi Kelima (5G) kepada 36 peratus daripada kawasan kepadatan tinggi mampu untuk merancakkan ekonomi digital secara keseluruhannya. Beliau berkata, perkembangan sektor ekonomi digital ini banyak berteraskan kepada keupayaan jaringan telekomunikasi yang disediakan. Katanya, sistem telekomunikasi 5G ini adalah masa depan dunia dan jika memperkatakan mengenai merancakkan ekonomi digital, ia perlu seiringan dengan infrastruktur sedia ada.

“Jadi, langkah kerajaan untuk memperluaskan jaringan 5G ini adalah sangat tepat kerana pertumbuhan rancak dalam aspek ekonomi digital banyak disumbangkan kepada infrastruktur telekomunikasi dan untuk ini, 5G adalah masa depan. Bagi fasa seterusnya, kita sangat mengharapkan bahawa perluasan jaringan 5G ini turut membabitkan kawasan sub pendalaman selain daripada bandar utama untuk mengurangkan jurang digital,” katanya. Pada pembentangan Bajet 2022, perkhidmatan 5G akan diperluaskan kepada 36 peratus daripada kawasan kepadatan tinggi termasuk di bandar utama di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Siraj berkata, perluasan kawasan liputan itu sangat diperlukan terutama untuk bandar utama di seluruh negara, namun bagi fasa berikutnya, kerajaan perlu juga melihat perluasan kepada kawasan sub bandar yang turut memainkan peranan penting. Sepanjang tempoh pandemik dua tahun lalu, kita dapat melihat pelbagai laporan berhubung kesukaran pelajar dan ibu bapa yang mengeluh mengenai perkhidmatan telekomunikasi kurang memuaskan sehingga mengganggu pembelajaran. Jadi, saya amat mengharapkan dalam suatu tempoh masa terdekat ini, pendekatan serta penambahbaikan itu dapat dilaksanakan dengan baik. Seperti yang kita tahu, kerajaan meletakkan sasaran bahawa negara mencapai negara maju pada 2030, sejajar dengan itu, perkhidmatan telekomunikasi juga perlu selaras dengan negara maju yang lain,” katanya.

Selain itu, kerajaan menyediakan peruntukan RM20 juta untuk segmen e-Sukan termasuk RM5 juta bagi mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron. Siraj berkata, peruntukan khusus yang diberikan kepada segmen sukan elektronik (e-Sukan) mampu melahirkan lebih ramai anak tempatan berkemahiran tinggi setaraf dengan pemain antarabangsa lain. Katanya, pengukuhan segmen e-Sukan ini juga akan membuka beberapa industri berkaitan lain antaranya pembangunan permainan itu sendiri. “Untuk tempoh masa depan, kita pastinya tidak mahu anak tempatan ini hanya menjadi pemain sebaliknya pembangun permainan serta mewujudkan lebih banyak tenaga kerja mahir. Ini adalah fasa pembangunan untuk e-Sukan di negara ini dan saya mengharapkan bahawa peruntukan ini dapat dimanfaatkan termasuk infrastruktur khusus untuk tujuan berkenaan,” katanya. Sumber: Hmetro

Pembangunan masa depan KL perlu rentasi sempadan pentadbiran. Perancangan pembangunan masa depan Kuala Lumpur perlu merentasi sempadan pentadbirannya bagi memastikan bandar raya itu kekal kompetitif untuk bersaing dalam semua aspek dengan bandar raya lain di rantau ASEAN seperti Bangkok, Singapura dan Jakarta. Perancangan pembangunan masa depan Kuala Lumpur perlu merentasi sempadan pentadbirannya bagi memastikan bandar raya itu kekal kompetitif untuk bersaing dalam semua aspek dengan bandar raya lain di rantau ASEAN seperti Bangkok, Singapura dan Jakarta, menurut pakar. Dekan Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Jamalunlaili Abdullah berkata, usaha itu perlu dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama PBT di Lembah Klang bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia.

“Dalam era globalisasi sekarang, DBKL atau mana-mana PBT tidak boleh merancang dalam kawasan sendiri mereka sahaja. Usaha menjadikan Kuala Lumpur bertaraf dunia bukan berkisar di dalamnya sahaja, tapi keseluruhan metropolitan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan pelabuhan misalnya yang berada di luar Kuala Lumpur. Justeru, kerjasama pentadbiran merentasi sempadan dengan penglibatan bersama PBT lain di Lembah Klang penting bagi kemajuan bersama kerana pembangunan kini dan masa hadapan bersifat sebuah konurbasi (bandar gabungan),” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini. Mengulas lanjut Jamalunlaili berkata, pentadbiran merentasi sempadan itu merangkumi pembangunan persekitaran seperti pengurusan banjir dan pengangkutan termasuk jalan raya dan sistem rel. “Sebagai contoh apabila kawasan Kuala Lumpur telah mempunyai kepadatan yang tinggi, ramai yang memilih untuk tinggal di luar bandar raya walaupun bekerja di sana, jadi seharusnya capaian pengangkutan awam seperti rel yang lebih efisien perlu ada bagi membolehkan mereka ulang alik ke Kuala Lumpur,” katanya.

Selain itu, Jamalunlaili berpendapat, DBKL juga harus merancang pembangunan Kuala Lumpur sebagai bandar pintar dengan mengintegrasikan teknologi maklumat dan perkakasan pintar yang berasaskan Internet Kebendaan (IoT). Katanya, tahap digitilasi masih lagi perlu ditingkatkan khususnya dalam pentadbiran kerajaan, pengurusan trafik, bencana selain keselamatan awam supaya sebarang tindak balas dapat dilakukan dengan cepat dan tepat. Sementara itu, Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) Dr Suhardi Maulan berpandangan, kawasan hijau semulajadi dan lapang juga perlu diberi perhatian dalam perancangan masa depan Kuala Lumpur bagi mengimbangi pembangunan fizikal. Beliau berkata, selain berusaha mengekalkan kawasan hijau dan lapang yang sedia ada, setiap daripadanya perlu mempunyai fungsi yang jelas sama ada untuk tujuan reakreasi, biodiversiti dan kawalan banjir.

“Di negara-negara maju, kawasan hijau adalah aset untuk kesejahteraan dan kesihatan penduduk di bandar,” katanya menambah pengurusan bandar raya termasuk penyelenggaraan, perlu dititik berat supaya ia sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh diguna pakai. Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib pula mencadangkan supaya projek pembangunan mewah harus diadun bersama dengan penempatan penduduk sederhana rendah supaya tidak wujud kawasan slum. “Kita tidak mahu seolah-olah ada kawasan itu yang komunitinya padat, terpinggir dan terasing dengan pembangunan dan fasiliti mewah yang berdekatan sehingga boleh mewujudkan polarisasi sosial. Sebaliknya, kemajuan di sesuatu tempat itu perlu lestari dan sesuai didiami untuk semua,” katanya dan berharap penelitian dibuat terhadap beban infrastruktur kerana ia boleh menyebabkan berlakunya banjir dan kesesakan lalu lintas.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Malaysia Raya Mohd Zainuddin Amran berharap warga kota mempunyai nilai tanggungjawab yang tinggi selari dengan kehidupan berjiran di bandar. “Cabaran generasi muda sekarang ialah semangat untuk beroganisasi mereka yang kian pudar, mereka tidak mahu terlibat dengan aktiviti Rukun Tetangga, persatuan penduduk mahupun komuniti setempat…mereka bukan tidak mempunyai ruang, tapi kurang menunjukkan minat dan ambil peduli. Sebaliknya, dalam mengejar kemajuan, hubungan dan interaksi sosial yang baik juga penting kerana mampu menggalakkan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat sekali gus mensejahterakan kehidupan,” katanya. Sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur (1972-2022) jatuh pada 1 Februari, serentak Hari Wilayah Persekutuan 2022, bagi memperingati ulang tahun ke-50 pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pertama di Malaysia sejak 1972. Sumber – Bernama