Sedih bila bubur kacang yang nak sedekah penuh selipar, sekali ini komen warganet

Bulan Ramadan penuh kemuliaan dan barakah ini, ramai orang sedang berlmba-lmba melakukan amalan kebaikan bagi mendapatkan ganjaran pahala berlipat kali ganda. Akan tetapi, tidak semua amalan baik berjalan lancar seperti yang dirancang seperti yang dialami sendiri oleh seorang peniaga baru-baru ini. Menerusi perkongsian video yang tular di laman TikTok, seorang pemuda yang dipercayai seorang peniaga mengatakan setiap dua atau tiga hari sekali, kakaknya pasti akan menyediakan bubur kacang atau bubur pulut hitam. Jelas lelaki itu, makanan tersebut adalah untuk disedekahkan kepada pelanggan yang datang makan untuk berbuka di kedai miliknya.

Namun begitu, niat untuk menyedekahkan bubur  kepada pelanggan tidak kesampaian, sebaik sahaja dia membuka penutup bekas makanan tersebut. Pengguna yang dikenali sebagai ashhryyyyy terkejut melihat beberapa pasang selipar berada di dalam bekas bubur yang disediakan oleh kakaknya itu. Pada masa yang sama, dia meluahkan kesalan dan sedih apabila niat murni itu telah ‘disabotaj’ oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Tambah pemilik video tersebut, dia sendiri tidak mengetahui kesilapan yang sudah dilakukan sehingga menjadi seperti ini.

“Tak tahu mana silap, sayang sangat, rasa sedih sebab buka sahaja penutup bekas ada selipar dalamnya, tak tahu siapa yang buat macam ini,” luahnya. Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut sebak dan bersimpati dengan nasib yang menimpa lelaki itu. Mereka juga berharap serta mendoakan agar dia tabah menerima ujian tersebut dan digantikan dengan rezeki yang lebih luas.

Melihat kepada situasi tersebut, ada segelintir warganet memberikan pandangan berkemungkinan ia dilakukan oleh kanak-kanak. Walau bagaimana pun, agak mustahil juga jika ia dilakukan oleh kanak-kanak. Apa-apa pun, tidak kisahlah sesiapa yang melakukan perbuatan tidak bermoral ini, diharapkan lelaki ini dan kakaknya tidak berputus asa untuk memberikan sedekah kepada pelanggan mereka. Sumber, TikTok @ashhryyyyy