Memang sudah dijangka traffic akan sesak hujung minggu ni, Pasangan yang ada anak kecil perlu tahu tips ni

Tahukah anda pemakaian car seat haruslah betul untuk menjaga keselamatan bayi semasa dalam perjalanan yang panjang. Ketika ini pasti ramai sedang sibuk membuat pelbagai persiapan untuk pulang ke kampung halaman menyambut Aildilditri yang bakal tiba. Memandangkan kerajaan mengumumkan pemberian tol percuma dan diskaun sehingga 50 peratus untuk semua kelas kenderaan pada 30 April dan 1 Mei ini, maka ramai akan mengambil peluang untuk pulang berhari raya pada tarikh tersebut. Maka lebuh raya utama dijangka akan mengalami kesesakan luar biasa serta perjalanan ini akan menjadi pemanduan penuh halangan dan rintangan kerana akan mengambil masa berjam-jam. Bagi yang mempunyai anak kecil, keadaan ini pasti akan menyebabkan ketidakselesaan apatah lagi sekiranya mereka meragam ketika perjalanan yang panjang. Tapi jangan bimbang, ada beberapa tip yang boleh dilakukan sebelum pulang ke kampung bagi yang mempunyai bayi kecil.

Guna car seat

Kesedaran penggunaan car seat masih rendah di Malaysia sehingga masih ramai yang lebih sanggup memangku bayi mereka sepanjang perjalanan tanpa menghiraukan keselesaan dan keselamatan mereka. Sebenarnya, car seat memiliki banyak kebaikan apatah lagi ia direka khas sebagai tempat bayi tidur dengan lebih selesa selain melindungi mereka daripada kemungkinan hentaman kuat sekiranya berlaku kemalangan. Namun perlu diingat, walaupun bayi anda diletakkan di dalam car seat namun itu bukan bermaksud anda boleh melepaskan pandangan daripadanya. Sebaliknya sentiasa pantau keadaan si kecil sepanjang perjalanan untuk mengelak perkara tidak diingini.

Berhenti dan rehat

Jika travel bersama bayi, sangat penting untuk berhenti berehat di kawasan Rehat & Rawat (R&R) untuk menukar lampin pakai buang dan menggantikan baju yang baharu agar mereka lebih selesa. Anda boleh juga menyuapkan mereka makan dan memberi susu – jangan biasakan beri mereka makan atau minum ketika kenderaan sedang bergerak! Ia boleh meningkatkan risiko tersedak susu atau tercekik makanan.

Barang kelengkapan bayi

Pastikan semua barangan keperluan bayi dibawa seperti lampin pakai buang, pakaian, selimut, susu, tisu basah dan sebagainya. Simpan semua barang-barang tersebut dalam sebuah beg yang sama dan diletakkan berdekatan dengan si ibu atau penjaganya kerana apabila memerlukan apa-apa, ia boleh dicapai dengan mudah dan cepat.

Ikut waktu tidur bayi

Bagi mengelakkan sebarang masalah dan bayi meragam di dalam kereta, anda boleh rancang perjalanan pulang ke kampung mengikut waktu bayi anda tidur. Bagi melancarkan perjalanan pulang ke kampung halaman, rancang pemanduan anda mengikut waktu bayi anda tidur. Dengan cara ini, ia boleh mengurangkan gangguan kepada pemandu sekiranya bayi menangis dan boleh menyebabkan pemandu keletihan sepanjang perjalanan kerana terpaksa melayan karenah si bayi. Makanan ringan juga penting, sediakan makanan ringan yang bernutrisi untuk anak anda bagi mengalihkan perhatian dan mengelak daripada mereka meragam sepanjang perjalanan. Sumber, mstar