Jangan sering cabut bulu hidung, Ketahui tugas besar bulu hidung untuk kesihatan anda

Ada sebab mengapa kita tidak digalakkan untuk sesuka hati mencabut bulu hidung. Pasti ada antara kita pernah terfikir apakah fungsi bulu hidung ketika membelek wajah di cermin, bukan tangan pula sentiasa berasa ‘gatal’ untuk mencabut bulu yang terkeluar dari hidung. Mana tidaknya, pasti kita akan diejek oleh rakan-rakan sekiranya bulu hidung terkeluar, memang memalukan. Sebenarnya setiap apa yang ada di tubuh manusia mempunyai keistimewaan dan fungsi tersendiri termasuklah bulu hidung. Tetapi yang menjadi persoalan, adakah ada kesan tertentu sekiranya kita mencabut bulu hidung. Cleveland Clinic melaporkan, permukaan dalam hidung memiliki folikel rambut seperti di bahagian kepala dan ia turut mempunyai fungsi penting dan tidak boleh dicabut atau dipotong sesuka hati. Apakah sebenarnya tugas bulu hidung?

Penapis udara semula jadi

Apabila bernafas melalui hidung, bulu di dalamnya akan menghalang dan mengumpul debu, habuk dan partikel lain yang boleh masuk ke dalam paru-paru. Ia juga berfungsi mengelakkan kuman daripada melepasi saluran pernafasan. Lapisan lendir yang nipis pada bulu hidung membuatkan partikel-partikel asing itu melekat dan akhirnya terkumpul di dinding saluran hidung dan terbentuknya tahi hidung. Partikel-partikel yang terperangkap ini akan dikeluarkan ketika seseorang bersin atau membersihkan hidung dengan tisu.

Boleh bantu penyejatan peluh

Serat yang terdapat di dalam bulu hidung memiliki fungsi tambahan iaitu menambah keluasan permukaan kulit dan membantu proses penyejatan peluh. Jaringan saraf yang mengelilingi folikel bulu hidung akan membantu menghantar signal kepada tubuh terhadap keadaan sekeliling.

Akan lembabkan udara ketika bernafas

Fungsi lain bulu hidung adalah membantu menghantar udara tambahan yang lembab ketika bernafas. Ketika bernafas melalui hidung, lendir dan bulu hidung akan menukar udara kepada haba dan lembab. Kelembapan ini sangat penting untuk sistem pernafasan termasuk di bahagian anak tekak dan paru-paru kerana jika sistem pernafasan terlalu kering, seseorang lebih mudah mengalami kegatalan hidung, tekak dan hidung berdarah.

Faktor bulu hidung tumbuh panjang

Sejajar dengan peningkatan usia seseorang, pelbagai perubahan akan berlaku pada tubuh termasuk pertumbuhan bulu hidung kerana semula jadinya ia akan bertambah panjang dan tebal. Hal ini akan menjejaskan penampilan dan menyebabkan wajah seseorang kelihatan tidak kemas dan jangan bimbang, ia adalah proses biasa yang dikenali sebagai paparan jangka panjang terhadap hormon dalam tubuh manusia.

Ada cara tertentu untuk merapikan bulu hidung anda.

Memandangkan kita tidak digalakkan untuk mencabut bulu hidung, mencantas sedikit bahagian yang terkeluar sudah memadai. Jika ia dibiarkan, bulu hidung akan kelihatan lebih jelas lebih-lebih lagi ketika tersenyum atau bercakap. Untuk mendapatkan potongan yang kemas, gunakan gunting kecil dengan bahagian hujungnya bulat atau peranti elektronik yang sesuai dengan bentuk hidung. Perlu diingatkan, bulu hidung akan kembali tumbuh jadi lakukan terapi itu secara berkala jika tidak mahu ia mengganggu penampilan anda.

Sebaik-baiknya jangan mencabut bulu hidung secara paksa kerana boleh menyebabkan pertumbuhan bulu ke bahagian dalam dan terjadinya jangkitan kuman. Kajian menunjukkan kaedah mencabut bulu hidung yang salah merupakan salah satu faktor utama penyebab jangkitan hidung yang dikenali sebagai nasal vestibulitis. Sumber, mstar